DALAM menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), terus memainkan peranan penting sebagai aset strategik negara.
Sebagai sebuah entiti milik penuh kerajaan yang telah sekian lama menjadi tonggak utama kepada ekonomi Malaysia, Petronas bukan sahaja berfungsi sebagai entiti korporat, malah menjadi simbol keupayaan industri tenaga negara serta kekuatan ekonomi nasional secara keseluruhan.
Namun demikian, landskap global yang tidak menentu termasuk turun naik harga minyak, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, konflik geopolitik serta perubahan dasar tenaga domestik menuntut langkah strategik yang mampan bagi memperkasa syarikat itu agar terus relevan dan berdaya saing.
Petronas terbukti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sumbangannya kepada pendapatan negara melalui dividen, cukai, royalti serta pemangkin pelbagai industri berkaitan seperti perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan dan logistik adalah signifikan.
Lebih penting lagi, syarikat itu menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan membentuk ekosistem rantaian nilai yang menyeluruh, daripada sektor huluan hinggalah ke sektor hiliran. Oleh itu, kekuatan Petronas perlu dikekalkan dan diperkasa agar ia kekal menjadi aset strategik yang menyumbang kepada kemakmuran negara dalam jangka masa panjang.
Namun, perkembangan semasa dalam sektor tenaga memperlihatkan beberapa cabaran kritikal yang menuntut perhatian segera.
Pertama, ketidaktentuan harga minyak mentah global akibat ketegangan geopolitik dan ketidakseimbangan permintaan serta penawaran memberi kesan langsung kepada pendapatan. Walaupun syarikat ini mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024, namun ia merupakan penurunan hampir 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kejatuhan harga minyak dan gas memberi impak besar kepada keupayaan Petronas untuk menjana pendapatan berterusan dan menyumbang kepada kewangan negara. Malah, dividen yang dibayar kepada kerajaan juga berkurang daripada RM40 bilion pada 2023 kepada RM32 bilion pada 2024.
Kedua, perundangan dan rundingan antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) turut memberi cabaran dalam pengurusan sumber tenaga negara.
Sarawak yang menyumbang lebih 60 peratus rizab gas negara menuntut hak autonomi yang lebih besar dalam pengurusan dan pengagregatan sumber gas asli cecair (LNG). Keputusan menjadikan Petros sebagai pengagregat tunggal eksport LNG dari negeri itu memperlihatkan peralihan sumber dari kerajaan Persekutuan ke negeri.
Ini menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang terhadap peranan Petronas sebagai peneraju sektor minyak dan gas negara dalam industri tenaga kebangsaan.
Ketiga, Petronas kini berdepan tekanan melaksanakan pelarasan organisasi termasuk pengurangan tenaga kerja. Seramai 5,000 pekerja tidak disambung kontrak. Langkah ini walaupun sebagai strategi penyesuaian kos, namun memberi impak sosial dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan tenaga kerja tempatan dalam industri ini. Dalam menghadapi cabaran ini, Petronas memerlukan satu strategi menyeluruh yang bersifat transformatif dan inklusif.
PERUBAHAN
Langkah pertama ialah memastikan struktur tadbir urus dan kawal selia industri tenaga kekal di bawah kerangka nasional. Peralihan hak operasi kepada negeri, jika tidak dipantau dengan baik, boleh menjejaskan keberkesanan pengurusan sumber negara.
Oleh itu, satu mekanisme rundingan dan perkongsian pintar antara Persekutuan dan negeri perlu diwujudkan agar kepentingan semua pihak terjamin tanpa menjejaskan kepentingan nasional. Usaha sama secara bijaksana perlu menjadi pertimbangan agar manfaat dapat diagihkan secara adil dan saksama.
Kedua, Petronas perlu memperkukuh keupayaan inovasi dan penyelidikan dalam sektor tenaga baharu. Dalam menghadapi peralihan global ke arah tenaga boleh diperbaharui, Petronas tidak boleh hanya bergantung kepada minyak dan gas fosil semata-mata.
Pelaburan dalam teknologi hidrogen, biofuel, tenaga suria serta tenaga karbon rendah perlu dipercepatkan agar syarikat ini dapat menyelaraskan operasinya dengan trend tenaga masa hadapan. Keupayaan untuk berkembang ke dalam sektor tenaga alternatif juga akan meningkatkan daya saingnya di peringkat global dan meningkatkan sumber pendapatannya.
Ketiga, daya saing Petornas juga boleh diperkukuh dengan pengurusan kos operasi yang lebih cekap. Strategi pengoptimuman rantaian bekalan, penggunaan automasi dan pendigitalan proses perlu ditingkatkan untuk memastikan keberkesanan operasi pada skala besar. Pengurusan sumber manusia juga perlu distruktur semula untuk menyesuaikan dengan persekitaran kerja baharu yang lebih dinamik dan berorientasikan teknologi.
Keempat, wajar meneroka pasaran luar negara secara lebih agresif. Walaupun syarikat ini berada di beberapa negara, namun perlu juga memberi fokus kepada pasaran baharu berpotensi tinggi seperti Afrika, Asia Tengah dan Asia Selatan. Negara-negara ini boleh menjana pulangan strategik jangka panjang. Pelaburan dalam projek pembangunan tenaga di luar negara bukan sahaja akan memperkukuh kedudukannya sebagai pemain global, malah menjadi sumber pendapatan alternatif kepada kerajaan Malaysia sekiranya pasaran domestik mengalami kelembaban.
Kelima, Petronas perlu memperkukuh jenamanya sebagai syarikat bertaraf dunia yang berintegriti tinggi. Sebarang konflik boleh menjejaskan imej Petronas di peringkat antarabangsa. Maka itu, sebarang isu perlu diselesaikan menerusi meja rundingan, bukan menerusi litigasi terbuka.
Ketelusan dan profesionalisme dalam pengurusan syarikat mesti dikekalkan agar keyakinan pelabur asing tidak terjejas. Reputasi Petronas sebagai syarikat minyak dan gas dari Asia yang dihormati perlu dipelihara melalui budaya tadbir urus korporat yang baik, berwibawa dan telus.
Keenam, peranan syarikat ini sebagai pemacu pembangunan bakat tempatan perlu diteruskan. Dalam usaha negara membina tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dalam sektor minyak dan gas, Petronas mesti kekal sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan modal insan. Peluang latihan, biasiswa dan pemindahan teknologi kepada universiti serta institusi teknikal perlu diperluas agar generasi muda dapat menjadi pelapis industri ini.
Akhir sekali, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Petronas terus berdaya tahan. Polisi fiskal dan perundangan yang mesra pelaburan, kestabilan politik serta sokongan kepada inovasi perlu diperkasa agar syarikat ini dapat beroperasi dalam persekitaran yang kondusif.
Kerajaan perlu memberi ruang kepada Petronas untuk membuat keputusan perniagaan yang rasional berdasarkan ekonomi dan perniagaan selain tidak terlalu dibebani dengan komitmen luar niaga yang boleh melemahkan daya saingnya.
Secara keseluruhan, memperkasa Petronas dalam era ketidaktentuan tenaga global memerlukan pendekatan strategik yang seimbang antara kepentingan ekonomi, sosial dan geopolitik. Petronas bukan sahaja sebuah syarikat minyak dan gas tetapi sebuah institusi kebangsaan yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina masa hadapan yang mampan.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










