PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengintai peluang membalas dendam ke atas gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025, hari ini.
Menanti mereka merupakan juara Terbuka Malaysia yang menyingkirkan Soon Huat-Shevon di suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu sekali gus merangkul gelaran kejohanan bertaraf Super 750 berkenaan.
Soon Huat berkata, beliau bersama Shevon semakin membara dan bersedia sepenuhnya untuk merealisasikan sasaran mereka ke separuh akhir Terbuka Indonesia.
“Kami memang menjadikan separuh akhir sebagai sasaran setiap kejohanan, dan walaupun kami kalah kepada pasangan Thailand minggu lalu, kami telah bersedia untuk berjuang semula esok (hari ini).
“Kali ini kami lebih bersedia dari segi mental dan fizikal, dan kami tidak sabar untuk menebus kekalahan tersebut,” kata Soon Huat.
Semalam, pilihan ketiga kejohanan itu tampil garang apabila menewaskan wakil tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-12, 21-17 dalam masa 33 minit pada aksi pusingan kedua di Istora Senayan, Jakarta.
Dalam pada itu, Shevon meluahkan bahawa keadaan angin di gelanggang Istora Senayan memberi satu ujian baharu untuk mereka untuk cepat menyesuaikan diri.
“Kami tahu keadaan angin di dalam gelanggang sangat mencabar, jadi kami memang sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan pantas sejak perlawanan semalam.
“Paling penting, kami kekal fokus dan konsisten walaupun lawan cuba memecahkan rentak kami, tetapi kami tetap berjaya bertahan sebagai satu pasukan,” kata Shevon. – UTUSAN










