PETALING JAYA: Kecederaan lutut yang masih membelenggu jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menimbulkan kebimbangan kepada skuad berbasikal negara menjelang Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, pada 22 hingga 26 Oktober ini.
Shah mengalami kecederaan sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai Februari lalu ketika menjalani latihan, membabitkan sedikit kerosakan pada tempurung lutut.
Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley mengesahkan masalah itu masih belum pulih walaupun selepas menjalani rawatan fisioterapi dan berehat sepanjang musim lalu.
“Kami sudah cuba memulihkan lututnya secara pasif iaitu melalui rehat dan fisioterapi tetapi nampaknya tidak berkesan sepenuhnya.
“Langkah seterusnya ialah berbincang dengan pasukan perubatan untuk mencari kaedah rawatan lain yang lebih sesuai,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.
Shah menamatkan kempen Grand Prix Pecut Jerman di Cottbus minggu lalu dengan menduduki tempat ke-56 daripada 66 pelumba dalam keirin dan ke-46 dalam acara pecut.
Dalam pada itu, Beasley turut mendedahkan bahawa fokus utama pasukan kini tertumpu kepada mempercepatkan pemulihan Shah dan memastikan pelumba sensasi wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan dunia.
“Izzah dijangka berada pada prestasi terbaik ketika Kejohanan Dunia, manakala pelumba lain sedang berusaha mencipta lonjakan prestasi,” ujar Beasley.
Skuad yang menyertai lima siri kejohanan di Jerman sejak hujung Mei lalu turut disertai Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Fadhil Zonis dan Anis Amira Rosidi sebagai persediaan menuju Santiago. – UTUSAN










