PETALING JAYA: Gandingan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyifatkan penyertaan mereka dalam program Road to Gold (RTG) sebagai pengiktirafan besar menjelang misi ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Pasangan itu menandatangani perjanjian komitmen bersama RTG yang diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkasa sokongan terhadap atlet elit negara memburu pingat emas pertama Olimpik.
Menurut Sze Fei, peluang menyertai program itu buat kali pertama memberi semangat baharu kepada mereka untuk kekal sebagai antara pasangan terbaik dunia.
“Kami berasa amat berbesar hati kerana buat kali pertama menyertai program RTG. Sokongan tambahan ini sangat bermakna dan akan membantu kami dalam usaha mengekalkan kedudukan ranking dan serta merealisasikan sasaran besar tahun ini,” kata Sze Fei.
Menerusi program tersebut, mereka bakal menerima sokongan menyeluruh termasuk sains sukan, elaun khas, penginapan strategik serta bantuan kejohanan dalam dan luar negara.
Turut diumumkan menyertai RTG adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang kembali menyertai projek kebangsaan itu selepas digugurkan pada Oktober 2023.
“Kami menandatangani komitmen bersama RTG dan amat bersyukur menjadi sebahagian daripada projek negara ini. Kami akan berusaha sebaik mungkin dalam setiap kejohanan akan datang,” kata Shevon.
Dengan kemasukan dua beregu profesional itu, jumlah pemain badminton dalam RTG kini meningkat kepada 12 orang termasuk empat pasangan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – UTUSAN










