KUALA LUMPUR: Tanpa bintang No. 8 dunia, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow yang merupakan pemain No. 13 dunia, Malaysia bergantung harap kepada Rachel Arnold dan Aira Azman yang melepasi halangan awal pada hari pembukaan Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan pertama, Rachel Arnold yang mendapat bye pada pusingan awal (64 terbaik) mudah menumpaskan Le Yi Hsuan dari Taiwan 11-5, 11-6, 11-4 di peringkat 32 terbaik.
Kemenangan itu menemukan pemain No. 19 dunia itu dengan pilihan ke-9/16, Risa Sugimoto dari Jepun pada peringkat 16 terbaik, esok.
Bekas naib remaja dunia, Aira yang menggalas status sebagai pilihan kedua turut mara ke pusingan seterusnya selepas tidak berdepan masalah menundukkan wakil China, Yin Ziyuan 11-3, 11-1, 11-3 di peringkat 32 terbaik.
Pada peringkat 16 terbaik, Aira yang menghuni ranking ke-27 dunia akan berdepan pemain Korea Selatan, Ryoo Boram.
Empat lagi wakil negara dalam saingan wanita, Aifa Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi, Yee Xin Ying dan pemain remaja sedang meningkat naik, Whitney Isabelle Wilson turut meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.
Aifa menewaskan pemain Sri Lanka, Yeheni Vonara Kuruppu 11-7, 11-0, 11-2, manakala, Ainaa menyingkiran Eum Hwa Yeong dari Korea Selatan 11-5, 11-6, 11-5.
Xin Ying pula menumpaskan Yeung Wai Leng dari Macau 11-3, 11-6, 11-6 dan Whitney mengalahkan pemain India, Akansha Salunkhe dalam pertarungan sengit 5-11, 11-4, 6-11, 11-3, 11-8.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, tanpa juara bertahan, Eain Yow yang menarik diri, Malaysia selaku tuan rumah mempertaruhkan rata-rata pemain muda dengan diketuai pemain paling senior, Sanjay Jeeva, 25 tahun.
Sanjay yang mendapat bye pada pusingan pertama mengetepikan Lee Min Woo dari Korea Selatan 11-5, 7-11, 11-8, 11-5, manakala, Duncan Lee menewaskan Ryu Jeong Min juga dari Korea Selatan 11-6, 8-11, 11-2, 11-8.
Turut meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga ialah dua pemain muda, Joachim Chuah yang mudah menyingkirkan wakil Filipina, Reymark Begornia 11-2, 11-4, 11-5 dan C. Ameeshanraj pula membenam cabaran David William Pelino juga dari Filipina 11-1, 11-7, 11-5. – UTUSAN










