Poad kembali terajui kem pecut negara

Poad kembali terajui kem pecut negara

Mohd Poad Md Kassim (kiri) ketika membimbing pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Terbuka Malaysia. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim kembali diberi kepercayaan mengemudi kem pecut kebangsaan dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan status pelantikan semula Poad telah dimuktamadkan dan kini secara rasmi berada dalam struktur program latihan ke arah temasya dwitahunan itu.

“Poad memang dah pasti. Statusnya sudah dimuktamadkan dan dia akan kembali bantu kita ke Sukan SEA. Nama dia memang sudah ada dalam program,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Karim, perjumpaan antara pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyusun pelan latihan kem olahraga negara.

“Kita sedang merancang lokasi latihan utama di mana semua atlet akan dikumpulkan. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dijadualkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Karim turut menjelaskan bahawa persiapan atlet sudah bermula dan bagi atlet yang tidak mempunyai jurulatih dalam negara akan dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih masing-masing.

“Latihan sudah berjalan. Beberapa jurulatih sedang jalankan latihan bersama atlet. Bagi yang tiada jurulatih, mereka akan ke tempat latihan di luar negara, tempat di mana jurulatih mereka berada terutama bagi mereka yang disenaraikan untuk bawa pulang pingat emas,” katanya.

Terdahulu, kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara, khususnya dalam acara pecut, mencetuskan harapan dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan agar Mohd Poad kembali membimbing barisan atlet pecut kebangsaan menjelang Sukan SEA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN