Penyokong hanya mahu menang sahaja - Khalid

Penyokong hanya mahu menang sahaja – Khalid

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Vietnam dalam usaha mereka mengakhiri badi tanpa kemenangan terhadap pasukan itu yang kini sudah memasuki tahun ke-11.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2014, dan pastinya pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini amat dinanti-nantikan.

Harimau Malaya kini berwajah baharu selepas proses revolusi yang dilakukan apabila dibarisi pemain warisan bertaraf dunia dengan dibantu pemain naturalisasi dan anak tempatan sekali gus memberi harapan kepada penyokong tempatan.

Mengulas lanjut mengenainya, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berkata ini merupakan masa terbaik untuk Harimau Malaya mencatat kemenangan selepas segala usaha yang dilakukan terhadap revolusi pasukan kebangsaan.

“Vietnam bukan pasukan calang-calang namun apa yang berlaku pada Harimau Malaya telah memberi satu kelebihan dengan barisan pemain yang sangat berbeza apabila ada campuran daripada pemain warisan gred A, naturalisasi dan tempatan.

“Semestinya ini akan menjadi titik tolak yang amat dinanti-nantikan kerana penyokong amat menagih kemenangan daripada Harimau Malaya selepas segala usaha yang dilakukan, penyokong hanya mahukan kemenangan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia,  semalam.

Khalid yang merupakan penjaring terbanyak Perak sepanjang zaman dengan 132 gol berkata, jika keputusan sebaliknya, ia akan mencetuskan suasana yang tidak menyeronokkan.

“Penyokong akan fikir ia sesuatu yang merugikan sebab dah ambil pemain warisan dari serata tempat tetapi kalah. Hanya kemenangan sahaja boleh menutup mulut pengkritik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×