PETALING JAYA: Atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin terus menunjukkan peningkatan membanggakan apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita akhir di Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Thailand 2025, semalam.
Liyana melakukan lompatan setinggi 1.75 meter untuk menewaskan pencabar lain sekali gus menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia di kejohanan berprestij itu.
Jurulatih atlet berkenaan, Muhamad Malik Ahmad Tobias, melahirkan rasa puas hati dengan prestasi semasa atlet itu yang disifatkan berada di landasan tepat menuju ke Sukan SEA 2025.
“Alhamdulillah, Liyana dalam keadaan baik berbanding tahun lalu. Tahun lepas dia banyak fokus kepada proses pemulihan kecederaan, jadi tidak banyak kejohanan yang dia sertai.
“Tahun ini, Terbuka Thailand adalah kejohanan ketiganya dan pencapaiannya setakat ini sangat bagus serta mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dari aspek teknik lompatan.
“Sekarang saya sedang teliti semula teknik lompatan dia. Ada beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti dan kita akan buat penambahbaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, jika segala perancangan berjalan lancar dan tiada sebarang halangan, Norliyana berpotensi besar untuk menghadiahkan pingat buat negara di temasya Sukan SEA pada Disember ini.
Untuk rekod, kejayaan di Thailand itu menjadi pembakar semangat buat Liyana selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini, sekali gus membuktikan dia kini semakin bersedia untuk menggalas cabaran di Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung di Thailand hujung tahun ini. – UTUSAN










