LONDON: Manchester United dilaporkan sanggup membayar lebih 60 juta pound (RM346 juta) kepada Brentford untuk mendapatkan pemain sayap, Bryan Mbeumo.
Sebelum ini, Brenford meminta The Red Devils membayar 65 juta pound (RM375 juta) jika memasang impian untuk membawa pemain antarabangsa Cameroon itu ke Old Trafford.
Rundingan antara kedua-dua kelab berlangsung selama beberapa minggu dan kembali dipergiatkan hujung minggu lalu bagi merealisasikan perpindahan tersebut.
Menurut sumber, United sedar Mbeumo berminat untuk berpindah ke Old Trafford, walaupun kelab itu tidak beraksi dalam kejohanan Eropah musim hadapan.
Tottenham turut menunjukkan minat terhadap Mbeumo selepas pelantikan Thomas Frank sebagai pengganti Ange Postecoglou.
Namun, United yakin mereka boleh mencapai kata sepakat dengan Brentford berkaitan penilaian Mbeumo serta struktur pembayaran yang sesuai.
Sekiranya menjadi kenyataan, pemain berusia 25 tahun itu akan berada dalam skuad Ruben Amorim sebelum jelajah pramusim ke Amerika Syarikat bermula.
Sementara itu, United turut ditawarkan peluang untuk menghidupkan semula minat mereka terhadap Christopher Nkunku dengan pemain Perancis itu dilaporkan terdesak mahu keluar dari Chelsea musim panas ini.
United pernah menunjukkan minat terhadap Nkunku Januari lalu ketika perbincangan dengan Chelsea mengenai kemungkinan perpindahan pemain sayap Alejandro Garnacho.
Walau bagaimanapun, tiada perjanjian yang tercapai ketika itu, tetapi kini United sekali lagi dimaklumkan bahawa Nkunku tersedia ketika mereka sedang giat mencari penyerang baharu. – AGENSI/UTUSAN










