LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool mengesahkan kehadiran pemain pertahanan Belanda, Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen dengan kontrak selama lima tahun.
Frimpong, 24, menjadi pemain pertama dibawa masuk pengurus baharu, Arne Slot selepas The Reds menjuarai liga musim lalu.
Difahamkan, Liverpool bersetuju dengan klausa pelepasan bernilai 35 juta euro (RM169 juta) dalam kontrak Frimpong bersama Leverkusen.
Perpindahan tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas bek kanan England, Trent Alexander-Arnold sah berhijrah ke gergasi Sepanyol, Real Madrid dengan kontrak enam tahun.
Frimpong yang akan menyertai secara rasmi bermula 1 Jun ini berkata, beliau tidak teragak-agak menyertai Liverpool sebaik kelab itu menyatakan minat mereka.
“Ia berjalan agak mudah. Liverpool datang dan nyatakan minat mereka, dan bagi saya, tiada apa perlu difikir panjang. Saya hanya kata, apa pun jadi, tolong selesaikan perpindahan ini,” katanya kepada laman rasmi kelab.
Bekas produk akademi Manchester City itu memainkan peranan penting dalam membantu Leverkusen merangkul kejuaraan berganda domestik Jerman musim 2023/24 dengan meledak 14 gol dan mencatat 12 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Sepanjang musim lalu, Frimpong membuat 48 penampilan dan menyumbang lima gol serta 12 bantuan gol untuk kelab itu yang muncul naib juara Bundesliga.
Pemain posisi bek kanan yang juga boleh digerakkan sebagai pemain sayap kanan, telah mewakili skuad kebangsaan Belanda sebanyak 12 kali sejak penampilan sulungnya pada Oktober 2023.
“Peminat Liverpool, saya akan berikan segalanya termasuk tenaga saya, semangat saya dan semoga kita menang dan meraikannya bersama. Terima kasih kerana menerima saya, dan saya tidak akan mengecewakan anda semua,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










