GOLONGAN muda berhadapan pelbagai cabaran kewangan yang lebih kompleks berbanding generasi terdahulu.
Lebih membimbangkan, data diperoleh daripada Bank Negara Malaysia pada 2024 menyatakan 75 peratus rakyat Malaysia mengalami kesukaran menyediakan wang simpanan kecemasan dengan nilai minimum RM1,000.
Ini menunjukkan indikator kritikal tahap literasi kewangan dan amalan menabung masih rendah dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda.
Tambahan pula, data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2024 mendedahkan sebahagian besar ahli kehabisan simpanan dalam tempoh hanya beberapa tahun selepas bersara, menunjukkan wujudnya jurang serius dalam perancangan kewangan jangka panjang.
Senario ini akan lebih kritikal apabila reformasi sistem persaraan awam yang beralih daripada skim pencen faedah terjamin (DB) kepada skim sumbangan ditetapkan (DC) bagi penjawat awam lantikan baharu berstatus tetap.
Keputusan itu diumumkan pada Januari 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertujuan memastikan pengurusan kewangan negara lebih mampan. Namun, skim ini tidak memberi kesan kepada penjawat awam sedia ada.
Di bawah skim pencen DB, kerajaan menjamin pembayaran pencen seumur hidup kepada pesara, tanpa mengira sumbangan mereka semasa berkhidmat, manakala skim DC pula memerlukan penjawat awam dan majikan (kerajaan) menyumbang ke dalam akaun persaraan individu. Jumlah bayaran persaraan bergantung kepada jumlah caruman serta pulangan pelaburan.
Sebagai alternatif, bersara secara DC melibatkan caruman tetap oleh penjawat awam dan kerajaan ke dalam akaun individu. Nilai wang yang diterima selepas bersara bergantung kepada jumlah caruman dan pulangan pelaburan. Tiada lagi nilai pencen tetap seperti skim DB. Maka, penting untuk mereka memahami skim baharu ini dan merancang persaraan dengan lebih baik.
Tanpa kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan secara sistematik, mereka berisiko mengalami kesempitan kewangan yang serius apabila bersara kelak. Sehubungan itu, menjadi keperluan mendesak untuk membimbing generasi muda dalam membangunkan kemahiran kewangan sejak awal, agar mereka mampu mengurus bukan sahaja kewangan semasa bekerja, tetapi juga mampu merancang dana persaraan secara berkesan.
Antara formula praktikal dan berkesan disarankan Profesor Elizabeth Warren dari Harvard University sejak 2005 iaitu agihan 50:30:20 daripada pendapatan bersih. Ia bertujuan mencapai kestabilan kewangan seperti yang dinyatakannya, “Keseimbangan kewangan adalah kunci kepada kecukupan”.
Formula ini boleh dijadikan panduan praktikal bermotifkan prinsip literasi kewangan inklusif dan mampan. Contoh, 50 peratus daripada pendapatan bersih bulanan diperuntukkan untuk keperluan asas bersifat bayaran wajib seperti hadiah tunai/barangan ibu bapa, bayaran rumah, kenderaan, makanan, dan bil utiliti. Manakala, 30 peratus untuk kehendak seperti hobi, rekreasi dan derma sementara 20 peratus lagi simpanan atau pelaburan.
50 peratus dan 30 peratus daripada pendapatan bersih adalah nilai tetap dan ia bersifat tiada pulangan. Manakala 20 peratus lagi adalah nilai utama yang perlu diberi perhatian untuk persediaan dana persaraan, bersifat pelaburan memiliki nilai tambah.
Ia penting untuk simpanan dan pelaburan, sama ada berpulangan tetap atau berubah. Sebanyak 10 peratus boleh disimpan sebagai dana kecemasan (tiga hingga enam bulan gaji), manakala baki 10 peratus lagi dijadikan pelaburan jangka panjang untuk persaraan.
Dana persaraan boleh diwujudkan melalui simpanan dan pelaburan dalam instrumen seperti KWSP, unit trust, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Skim Persaraan Swasta (PRS), Tabung Haji serta unit trust patuh syariah.
Kebanyakan instrumen ini didaftar dan dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kecuali KWSP dan Tabung Haji yang mempunyai entiti pengurusan masing-masing. Pelaburan saham juga merupakan pilihan sesuai bagi dana persaraan jangka panjang, namun ia hadir dengan risiko.
Penting bagi pelabur muda memahami produk pelaburan yang diceburi. Platform pelaburan digital seperti StashAway, Wahed Invest, MYTHEO, FSMOne dan BEST Invest menawarkan alternatif mudah serta mampu milik untuk memulakan pelaburan dengan jumlah serendah RM10 atau RM100.
Pelaburan emas dan hartanah juga pilihan dana persaraan yang bijak, terutamanya dalam situasi ketidaktentuan ekonomi. Emas diperakui sebagai pelaburan paling selamat dan menguntungkan.
Pelaburan hartanah seperti rumah sewa, hartanah komersial, flipping, AirBnB dan Real Estate Investment Trust (REIT) berpotensi menjadi sumber dana persaraan yang kukuh. Ia mampu menjana pendapatan pasif bulanan yang stabil, menjamin kewangan masa hadapan serta menjadi aset warisan dan alat pengumpulan kekayaan jangka panjang.
UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
Namun begitu, generasi muda perlu bijak mengurus kewangan dan tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah melampaui kemampuan. Statistik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Mac lalu menunjukkan seramai 5,272 belia berumur 34 tahun ke bawah diisytihar muflis sejak 2020.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,189 orang berumur antara 25 hingga 34 tahun, manakala 83 orang pula berumur di bawah 25 tahun.
Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pada tahun lalu sahaja, pinjaman peribadi menyumbang sebanyak 2,776 kes muflis dalam kalangan golongan muda, iaitu 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan direkodkan.
Hutang kad kredit juga menyumbang kepada 89 kes kebankrapan yang melibatkan belia. Oleh itu, golongan muda harus menggunakan kad kredit dengan ilmu dan sebaik mungkin mengelak pembelian barangan secara ansuran (trend popular masa kini yang merisaukan). Ini kerana ia boleh membawa bebanan hutang berbunga tinggi.
Kesimpulannya, pengurusan kewangan yang efektif serta praktikal bukan sahaja dapat memastikan kestabilan kewangan dalam kehidupan seharian malahan pesara seperti bekas penjawat awam akan tetap senang dan tenang dengan skim caruman tetap DC, walaupun tanpa pencen bulanan.
Strategi kewangan yang tepat membolehkan seseorang menikmati kebebasan membuat keputusan penting dalam hidup, seperti menukar kerjaya, mendirikan rumah tangga atau membeli hartanah.
Dengan mengikuti struktur ini (50:30:20) dan memahami kemudahan kredit, golongan muda boleh memastikan mereka tidak berbelanja lebih daripada diperlukan. Bak kata peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri.’
Jangan tunggu tua untuk bijak mengurus wang dan dana persaraan. Masa hadapan kewangan dan dana persaraan lestari bermula dengan keputusan bijak hari ini.-UTUSAN
DR. Memiyanty Abdul Rahim ialah Pensyarah Kanan/Penyelidik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.










