Fazri mahu tumpang 'aura' Asia 

Fazri mahu tumpang ‘aura’ Asia 

Wan Muhammad Fazri Wan Zahari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelari 800 meter (m) negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari menyifatkan penyertaannya di kejohanan luar bukan sekadar untuk mencari angin perubahan, sebaliknya mahu tumpang ‘aura’ negara-negara kuasa Asia seperti Jepun, India dan China.

Fazri yang mencatat rekod terbaik peribadi 1 minit 47.40 saat (s) di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) Gumi, Korea Selatan baru-baru ini percaya saingan tinggi dalam kalangan pelari dari negara tersebut menjadi pemangkin kepada prestasinya.

“Kalau tengok keputusan di ATF, kebanyakannya didominasi oleh China, India dan Jepun, jadi memang bagus kalau dapat bersaing dengan mereka lebih kerap.

“Jepun memang tempat yang bagus untuk latihan dan catat masa terbaik, sebab persekitaran dan tahap saingan di sana sangat tinggi berbanding di sini,” kata Fazri.

Pelari berusia 24 tahun itu tidak meletakkan syarat untuk ke Eropah, sebaliknya terbuka untuk ke mana-mana lokasi dalam Asia yang mampu memberikan tentangan sengit dan kemudahan latihan lebih baik.

Tambahnya, persaingan kompetitif itulah yang membantu dirinya mencatat masa jauh lebih baik daripada sasaran awal jurulatih ketika beraksi di Korea.

“Jurulatih sasarkan 1:50s, tapi saya dapat 1:47.40s, itu pun saya tak jangka sebab tekanan saingan masa itu sangat tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Fazri dipisahkan tiga perseratus saat dengan rekod kebangsaan berusia 40 tahun milik Batumalai Rajakumar dengan catatan 1:47.37s ketika Kejohanan Asia edisi 1985 di Jakarta, Indonesia.

Malaysia belum pernah melahirkan pelari 800m lelaki yang mampu menembusi podium Asia sejak dua dekad lalu dan Fazri kini muncul sebagai prospek terbaik untuk mengubah sejarah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×