ETNIK Cina sama ada dulu dan masa kini rata-ratanya tidak mempersoal Kontrak sosial secara terbuka. Pun begitu, Kontrak sosial yang sebenarnya Perjanjian Etnik 1955 itu, selalu dipertikai secara tertutup, kadang-kadang dengan agresif sekali.
Kontrak Sosial adalah persetujuan antara etnik Melayu selaku pemilik negara ini yang memberi kerakyatan kepada etnik bukan Melayu. Dengan pemberian ini, etnik Cina dan lain-lain berjanji untuk menerima empat perkara utama di negara yang mahu terus didiami. Perkara itu ialah Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kekuasaan raja Melayu.
Itulah perjanjiannya apabila diberikan kerakyatan yang bukan sahaja melayakkan mereka terus tinggal di bumi bertuah ini, juga untuk bersama berbakti kepada tanah watan Melayu yang mahu ikut dianggap sebagai tanah air.
Malangnya perjanjian itu masih tidak tertunai sepenuhnya walaupun setelah sekian lama dipersetujui. Ini dapat dilihat pada sikap negatif yang sering terserlah dalam perbuatan etnik Cina, walaupun pengakuan mereka selalu berupa sikap yang positif belaka. Mereka mudah menafikan pengakuan atau tindakan yang bertentangan dengan perkara yang dilakukan.
Antaranya dalam bentuk jaminan yang tiada sesiapa jua dalam kalangan etnik Cina mempersoal, apatah mempertikai taraf Islam, bahasa Melayu, etnik Melayu dan raja Melayu seperti yang dipersetuju pada kontrak sosial itu. Itulah pengakuan dan ikrarnya tetapi kebenarannya sikap acuh tidak acuh mereka terserlah. Ia hakikat yang tidak mudah disangkal.
Antara manifestasi sikap ini ialah resmi yang langsung tidak mengendah, menghirau mahupun mempeduli ehwal nasional yang tiada kaitan langsung dengan bidang ekonomi. Misalnya sosiobudaya yang bersangkutan dengan nasionalisme Malaysia yang bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran Islam.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 yang ikut menjadi asas penting dalam Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021. Ia liat sekali untuk diterima, apatah lagi diamalkan oleh etnik Cina.
Sebenarnya sudah lama gejala ini dikesan sebegini. Ia boleh dibuktikan berdasarkan hampir tiada penyertaan etnik Cina dalam pelbagai usaha kerajaan bersifat bukan ekonomi. Tanpa penyertaan yang signifikan daripada kaum itu dalam semua bidang akan mengendalakan usaha pembinaan negara bangsa, iaitu untuk melahirkan rakyat nasionalisitik dan patriotik dalam segenap bidang.
Etnik Cina bukan sahaja tidak berminat, tidak ghairah dan teruja terhadap keberadaan negara ini, khususnya dalam bidang yang tiada kaitan langsung dengan ekonomi tetapi mereka juga didapati tiada sebarang keprihatinan sebagai rakyat yang cakna kepada negaranya.
Dengan kata lain, etnik Cina langsung tiada motivasi untuk mengambil berat tentang negara ini. Sedangkan, ia penting untuk mereka turut merasa bangga terhadap negara tercinta ini, agar dapat menyayangi dan taat sebagaimana dilakukan etnik Melayu.
Tidak dapat dinafikan sikap sebegini bukan sahaja memperlihat tiadanya rasa nasionalistik dan patriotik sebaliknya menunjukkan sikap rakus mereka. Dalam hal ini, etnik Cina selain hanya mahu terlibat dalam perkara kebendaan, mereka juga sangat cauvinis dalam memupuk nasionalisme etnik Cina sahaja biarpun di tempat lain yang mereka datangi.
UBAH SIKAP
Sikap buruk ini sebenarnya didapati banyak menjejaskan usaha kerajaan untuk menjayakan pembinaan negara bangsa, walaupun dimulakan hampir 70 tahun dahulu. Sehubungan ini, ada pihak yang berpendapat kegagalan sesetengah usaha, malah banyak usaha kerajaan dalam pembinaan negara bangsa ialah kerana faktor pelaksanaan semata-mata.
Tidak dapat dinafikan faktor ini penting dan memang didapati wujud pada setiap usaha kerajaan dalam apa-apa jua bidang. Namun ia bukan satu-satu faktor yang merencatkan setiap usaha kerajaan itu. Untuk ini, kerajaan tidak boleh selalu dipersalah walaupun ia memang lemah pun dalam hal melaksanakan apa-apa sahaja yang dirancangkannya.
Oleh itu, untuk memastikan ia berjaya memerlukan kerjasama semua pihak. Mereka wajib terlibat, bukan hanya bergantung kepada satu-satu kaum sahaja.
Dalam hal ini, etnik Cina hendaklah mula mengubah sikap dengan ikut berasa bangga, menyayangi untuk akhirnya mentaati negara ini, khususnya melalui perbuatan. Untuk ini, mereka wajib bersedia untuk mengimbangi nasionalisme dan patriotisme ekonomi, yang hendaklah diakui semua pihak adalah tinggi, malah amat tinggi. Ia haruslah digandingkan dengan bidang bukan ekonomi yang memang rata-ratanya rendah, malah tiada langsung penyertaannya daripada etnik Cina.
Antara yang terpenting ialah bukan sahaja penghormatan terhadap lambang negara tetapi menerima setiap satunya secara ikhlas.
Dengan ini, Islam yang walaupun bukan anutan mereka, wajib diterima baik dalam kehidupan nasional di negara ini. Justeru Islam tidak boleh sesekali dipertikai, apatah lagi dicemuh apabila moraliti awam dikawalnya.
Begitu juga dengan bahasa Melayu, etnik Melayu dan raja Melayu. Kesemua ini bukan sahaja wajib diterima seadanya. Malah diterima lebih daripada itu. Ini kerana ia lambang negara yang menegakkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Dalam perubahan sikap ini, etnik Cina bukan sahaja wajib mengambil langkah yang lebih agresif, tetapi pragmatik sekali. Untuk ini, mereka yang selama ini hanya menekuni bidang ekonomi semata- mata, hendaklah mula mempelbagaikan kegiatan mereka.
Dalam hal ini, etnik Cina wajib menerima kepentingan penguasaan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam konteks kerakyatan bestari. Begitu juga dengan kewajipan mereka untuk ikut memastikan syiar Islam terus agung di negara ini. Hal positif seumpama itu juga wajib berlaku terhadap etnik Melayu sebagai penduduk asal dan raja Melayu selaku pemerintah di bumi Melayu-Islam berdaulat ini.
Dengan perubahan ini, etnik Cina akan dilihat sebagai rakyat baik untuk tidak dicurigai lagi. Sehubungan ini, perbuatan zahir mereka yang rela lagi ikhlas adalah jauh lebih utama daripada ucapan di bibir.
Ini kerana niat dan perasaan tulen lagi sejati selalunya wujud dalam bentuk perbuatan yang bukan sahaja lebih boleh dipercayai. Ia juga sebagai petunjuk sahih kepada perwatakan yang sebenar.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










