PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan semak dan imbang terhadap prestasi keseluruhan pemain beregu wanita negara termasuk pasangan, Pearly Tan-M. Thinaah yang masih turun naik ketika ini.
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, prestasi beregu wanita terutama pasangan utama itu walaupun menjadi juara Terbuka Thailand sebelum ini, masih belum dapat mengekalkan rentak konsisten dalam permainan termasuk mengalami kekalahan kali kedua berturut-turut kepada gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam saingan Terbuka Singapura, kelmarin.
Katanya, beliau percaya antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan itu adalah kekurangan masa untuk latihan akibat terlalu banyak menyertai kejohanan dalam masa singkat.
“Saya lihat, Pearly dan Thinaah ini satu-satunya harapan kita dalam beregu wanita. Tapi bila banyak sangat pergi kejohanan, masa untuk latihan jadi tidak cukup.
“Bila tak cukup latihan, persiapan ke kejohanan pun tak lengkap,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, jadual padat seperti menyertai kejohanan berturut-turut di Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia menyukarkan mereka untuk memperbaiki kelemahan selepas kekalahan.
“Pergi satu kejohanan, balik kalah, tak sempat betulkan. Terus pergi kejohanan lain. Fizikal pun makin menurun.
“Bila fizikal turun, komunikasi dan kombinasi dalam gelanggang juga terjejas. Itu yang menyebabkan mereka kerap tewas,” katanya.
Menurut beliau lagi, para jurulatih juga tidak mempunyai masa secukupnya untuk memberi input berkesan kepada pemain, dan ini membantutkan proses penambahbaikan taktikal dan teknikal.
Jalani turut menyentuh isu dalaman membabitkan BAM dan keinginan Pearly-Thinaah untuk bergerak secara profesional dengan berpandangan konflik ini boleh menjejaskan emosi dan fokus pemain.
Sebelum ini, pasangan No. 4 dunia itu tewas kepada pasangan yang sama dalam kejohanan Malaysia Masters minggu lalu. -UTUSAN











