B10 cari atlet pecut bawah 10 saat  

B10 cari atlet pecut bawah 10 saat  

KARIM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim memberi bayangan fokus kepemimpinannya adalah untuk menjadikan program larian 100 meter (m) bawah 10 saat (s) atau Projek B10 sebagai taruhan emas negara.

Karim berkata, program tersebut diyakini mampu melahirkan kelompok pelari elit negara menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 dan seterusnya mampu menaiki podium pada temasya empat tahun sekali itu.

Beliau mahu membina satu skuad pecut terutamanya dalam acara 4×100 meter (m) yang mampan dan konsisten dan bukan hanya sekadar melengkapkan penyertaan.

“Program B10 merupakan satu penanda aras yang kita mesti capai. Kalau kita dapat dua pelari bawah 10 saat, itu sudah cukup untuk bentuk pasukan 4×100 meter yang mantap.

“Sasaran kita kali ini adalah final Sukan Olimpik, bukan sekadar penyertaan,” kata Karim.

Sebelum ini, Projek B10 pernah dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan dilihat dapat membawa pulangan yang berbaloi.

Dalam pada itu, Karim berkata, sasaran beliau sebagai Presiden MA pada penggal 2025-2029 adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai dua pelari pecut negara yang mampu berlari dibawah 10s.

“Projek B10 di mana seseorang atlet mencapai hampir 10 saat, sama seperti Azeem (Fahmi) yang berada di Amerika Syarikat (AS) ketika ini. Objektif kita adalah untuk dapatkan dua atlet seperti itu,” katanya. 

Untuk rekod, hampir 50 tahun Malaysia gagal menempatkan wakil olahraga ke peringkat separuh akhir temasya Olimpik, dengan kali terakhir direkodkan Ishtiaq Mubarak pada edisi Montreal 1976 menerusi acara 110m lari berpagar lelaki.

Selain itu,  Tan Sri M. Jegathesan yang terkenal dengan julukan The Flying Doctor turut mara ke separuh akhir dalam acara 200m pada edisi Tokyo 1964. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN