Azlan ada tujuh hari jawab surat tunjuk sebab

Azlan ada tujuh hari jawab surat tunjuk sebab

Azlan Alias (kanan) beraksi menentang Thailand dalam acara berpasukan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebelum ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kecewa dengan tindakan pemain kebangsaan, Mohamad Azlan Alias yang melanggar arahan berehat akibat kecederaan apabila turun beraksi bersama Melaka Titans dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), baru-baru ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada pemain apit kanan itu serta kelabnya dengan tempoh tujuh hari untuk menjawab.

“Laporan (keretakan) bukan datang dari PSM tetapi dari doktor dan Institut Sukan Negara (ISN), jadi kena hormat laporan itu sebab dia (Azlan) diperlukan untuk kejohanan besar.

“Kalau dia belum fit tapi main dan cedera semula, dia kena berehat lebih lama. Siapa nak tanggung semua itu? Dia pemain kebangsaan,” kata Sumali ketika ditemui di Majlis Program Komuniti STL 2025 di Taman Mesra, Kajang semalam.

Terdahulu, Azlan yang mengalami keretakan tulang di siku kiri semasa perlawanan akhir regu berpasukan Piala Asia 2025 bulan lalu sepatutnya menjalani tempoh pemulihan selama dua bulan.

Dalam pada itu, Sumali menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional dan mengganggu perancangan skuad negara ke Piala Raja Thai dan Sukan SEA hujung tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan negara perlu diutamakan berbanding desakan kelab atau keghairahan pemain untuk kembali ke gelanggang terlalu awal.

“Semua bertanya kenapa dia (Azlan) bermain. Jadi ini menghuru harakan keadaan kerana pemikiran semua orang sedang mengalami kecederaan dan sedang diberi rawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN