MUKADIMAH
SELEPAS berjaya menewaskan lawannya, Rodziah Ismail dalam Pemilihan PKR 2022 dengan kelebihan 32 undi, kali ini Ketua Wanita PKR, FADHLINA SIDEK sekali lagi berdepan lawan yang sama dalam merebut jawatan sayap berkenaan.
Pimpinannya dianggap lesu oleh lawannya. Namun, anggapan itu bukanlah penamat pejuangannya untuk terus memimpin Wanita terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Berbekalkan iltizam dan semangat reformis, beliau yang juga Menteri Pendidikan dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR tidak gentar berdepan Rodziah, kerana percaya kerja kerasnya dalam tempoh menjawat jawatan itu dilaksanakan dengan baik.
Temu bual yang turut disertai jurufoto, FAIZ ALIF ZUBIR dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD.DERIS itu turut menyentuh soal kempen yang memperlekehkan pimpinan tidak wajar berlaku menjelang pemilihan parti sebaliknya ia perlu berlangsung dalam semangat kekeluargaan.
PATUT BERLANGSUNG SECARA KEKELUARGAAN
Saya barangkali sudah diperingatkan daripada awal bahawa setiap kali pemilihan parti adalah pemilihan keluarga. Ini bermaksud, pertarungan anak-beranak atau adik-beradik untuk mendapat posisi tertinggi dalam parti ataupun apa-apa posisi sekali pun. Saya percaya hasrat semangat kekeluargaan mesti diangkat dalam suasana pemilihan.
Perubahan itu pastinya memberikan kesan langsung kepada mood, cara pemilihan dan juga berkempen. Cuma kali ini lebih mencabar dan ‘panas’ kerana PKR merupakan sebahagian parti kerajaan dan sebahagian besar kami adalah menteri, selepas berpuluh tahun sebagai pembangkang.
Bagi saya, pemilihan kali ini lebih tenang kerana persiapan sudah dilakukan daripada awal. Soal pemilihan adalah untuk menawarkan khidmat untuk parti. Apa yang saya tawarkan mestilah sampai ke akar umbi dan mereka memahami hasrat itu. Paling penting adalah mendengar mendengar suara akar umbi.
BUKA PEKUNG HANYA UNDANG PERSEPSI
Dalam keluarga, soal aib perlu disimpan. Perkara-perkara buruk jangan dikongsi serta jangan terlanjur dan terlajak apabila bercakap kerana itu semua akan mengundang pelbagai persepsi. Apabila sertai pentas-pentas kempen, kita perlu menawarkan bagaimana parti ini perlu disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ia tempoh getir kerana akan berdepan beberapa pilihan raya. Jadi, persiapan itu harus tertumpu untuk membina kekuatan.
Kita sebagai ahli parti tahu apa yang berlaku. Sebab itu saya kata yang cuba (mereka) penuhi adalah persepsi awam.
Tetapi kita juga lihat persepsi begini menyebabkan orang menjauhi politik. Sebab tu penting, jika mahu kekal dalam politik perlu ada pendirian dan kekal dengannya.
20 tahun lebih sebagai aktivis menyebabkan saya terus memperjuangkan keadilan sosial. Sebab itu dasar-dasar yang diwujudkan berdasarkan kepercayaan daripada keadilan sosial.
PENDEDAHAN BOLEH ROSAkKAN PARTI
Ia harus ditangani dengan lebih berhemah dengan kempen yang menjurus kepada mengembali dan membina semula kekuatan parti. Melalui ini, pemilihan akan berlaku dalam proses harmoni. Saya ada beberapa hari lagi untuk membuat seruan ini selain mendukung Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mungkin (apa yang disampaikan) betul, mungkin ada yang tidak betul tetapi persepsi itu jika dibenarkan akan menyebabkan orang akan mula bercakap dan mempersoalkan. Sebab itu pendekatan saya dan rakan-rakan untuk berkempen secara semangat kekeluargaan selain bercakap soal perancangan parti.
Kedudukan PKR dalam kerajaan merupakan kelebihan yang boleh digunakan dengan baik sebagai peluang dan juga kekuatan untuk berkempen dalam pemilihan ini.
Dan parti tidak pernah ketandusan pemimpin mahupun ideolog. Mereka sentiasa membicarakan tentang dasar dan asas perjuangan. Jika tersalah langkah ataupun mungkin tergelincir sedikit, pasti akan ada ideolog-ideolog bangkit mengingatkan asas perjuangan parti yang menggagaskan tentang keadilan sosial dalam masyarakat.
Pada 24 Mei ini, kalah atau menang mesti terus bangkit sebagai parti yang kuat.
WANITA PKR LESU?
Apabila disebut dan dilabel begitu, pastinya ramai wanita merasakan marah sebab mereka ini adalah orang yang menggerakkan parti begitu lama dan definisi lesu ini juga tidak diberikan penjelasan atau tawaran yang jauh lebih baik. Wanita lesu ‘tang’ mana?
Apa yang dilaksanakan ketika ini untuk memperkukuhkan parti, sebab itu yang ditawarkan dan juga yang sedang berjalan sangat penting.
Wanita melaksanakan pelbagai agenda pada sesi yang lepas. Pertama, menguatkan kembali aspek penubuhan Sekolah Wanita. Kita bagi tumpuan latihan kepada wanita daripada pelbagai latar belakang seperti suri rumah, profesional, ahli akademik, aktivis masyarakat dan lain-lain.
Contoh, seorang aktivis tetapi tiada kekuatan dari segi dasar dan polisi. Jadi, Sekolah Wanita tampil memberikan pengisian tentang itu. Kemudian daripada Sekolah Wanita inilah kita memilih calon dalam pemilihan ini.
Maksudnya golongan ini sudah membina kekuatan dan ada dalam kalangan mereka yang menang. Kita mahu membina kekuatan sehingga mereka boleh berada dalam proses parti termasuk pemilihan dan memegang tanggungjawab.
Saya juga berbincang dengan Nurul Izzah Anwar untuk memperkasa peranan Wanita. Nurul Izzah melihat penglibatan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) harus lebih inklusif dengan 40 peratus diberikan peluang menjadi calon pilihan raya.
Kita akan lihat sama ada untuk angkat 30 peratus sebagai dasar dan polisi. Ini kerana advokasi sudah berlangsung begitu lama atau mengambil pendekatan sebagaimana seruan Nurul Izzah.
Sebab itu, kita ada program Run to Win. Program ini memberi peluang anda masuk latihan kemudian bertanding dalam pilihan raya dan menang. Kita sudah buat beberapa siri untuk mencari bakat dan juga calon. Kita menubuhkan Tabung 30WReps khusus untuk membantu parti melengkapkan kuota 30 peratus calon wanita. Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM60,000.
Kita mahu lihat semua calon Wanita didukung, bukan sahaja melalui latihan atau penegasan-penegasan dalam konteks fikrah dan idealism tetapi juga dengan sokongan ekosistem kewangan yang kukuh untuk ‘masuk’ sebagai calon pilihan raya.
Wanita juga responsif kepada isu-isu semasa dan masyarakat. Sebab itu, Wanita begitu sinonim dengan misi banjir. Kita siapkan gudang seperti di Kelantan. Apabila berlaku sahaja banjir, misi bantuan terus berjalan. Inilah asas sukarelawan atau aktivis yang dilahirkan.
Saya juga perkenalkan Bakul Makanan Wanita. Ia adalah ‘pintu masuk’ ke rumah dan hati rakyat. Katakan, ada yang mengadu tidak dapat bantuan warga emas atau anak terlibat dadah, kita akan ‘masuk’ dan selesaikan isu-isu tersebut serta memberi akses bantuan dengan segera.
Janganlah kita lihat sesebuah program itu daripada gah dan popular semata-mata tetapi lihat tujuan ‘masuk’ parti untuk menjadi aktivis politik. Maksudnya memberi kesedaran kepada komuniti supaya mereka benar-benar faham tujuan menyertai politik sebagai penyelesai masalah dan jurucakap kepada masyarakat.
PERTAHAN JAWATAN
Tidak nampak ada masalah besar untuk mempertahankan juga untuk barangkali (memperoleh) undi yang lebih selesa tetapi saya melihat cabarannya adalah pasca kemenangan ataupun pemilihan dalam mempersiapkan keseluruhan pasukan dan individu yang mesti mendukung misi Anwar. Selain itu, persiapan kita menghadapi PRU16 dan beberapa pilihan raya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ia bukan semata-mata melibatkan persiapan pasukan tetapi juga mempertahankan dan menambah bilangan kerusi, apatah lagi kita sebahagian daripada kerajaan.
Yang lain-lain tiada apa yang perlu digusarkan, ajakkan berdebat tidak relevan ketika ini kerana tumpuan adalah lebih kepada memperkuat dan memperkukuhkan parti.
Kita perlu luangkan masa dan melakukan aktiviti bersama anggota parti selain memastikan setiap ahli mesti disantuni.
Kita telah laksanakan kerja sepanjang tempoh yang lepas dan kali ini masuk ke gelanggang kempen dengan kekuatan, keyakinan dan tawaran yang lebih baik.-UTUSAN










