Misi Malaysia tewaskan Vietnam bermula  

Misi Malaysia tewaskan Vietnam bermula  

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya secara rasmi semalam, akan memulakan misi besar untuk menamatkan badi lebih sedekad tanpa kemenangan ke atas Vietnam.

Seramai 38 pemain akan menjalani sesi latihan pusat itu dan ia akan dijalankan secara berfasa dengan melibatkan tiga peringkat kehadiran pemain.

Latihan fasa pertama akan disertai 28 pemain yang mula melapor diri semalam bagi memulakan latihan fasa pertama yang akan berlangsung di Johor Bahru bermula 18 Mei hingga 26 Mei ini.

Seramai lapan lagi pemain membabitkan Syihan Hazmi Mohamed, Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Romel Morales dan Endrick dos Santos dijangka menyertai skuad kebangsaan pada 25 Mei, manakala Dion Cools dan Hector Hevel bakal melengkapkan senarai pada 1 Jun kelak.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, pendekatan tiga fasa itu diambil bagi memastikan setiap pemain berada dalam kondisi terbaik selepas menamatkan musim yang panjang bersama kelab masing-masing.

Jelasnya, fasiliti bertaraf dunia di pusat latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan ia adalah lokasi tepat untuk skuad kebangsaan memulakan sesi latihan fasa pertama.

“Terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas sokongan kepada pasukan.Fasiliti JDT mencipta suasana latihan tahap tertinggi dan itu yang kami perlukan.

“Selepas ini, kami akan bergerak ke Kuala Lumpur dan teruskan persiapan di sana,” katanya.

Skuad negara akan berdepan ujian getir dengan aksi pemanas badan menentang pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.

Aksi pemanas badan itu akan disusuli satu lagi perlawanan menentang Cape Verde secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun, sebelum perlawanan sebenar menanti dalam kelayakan Piala Asia 2027.

Perlawanan menentang Vietnam dalam saingan Kumpulan F akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun ini, menjadi aksi yang dinanti-nantikan peminat tanah air.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia berjaya menewaskan Vietnam  pada separuh akhir Piala AFF 2014 apabila skuad negara melakar kemenangan 4-2 di Hanoi. 

Sejak itu, Harimau Malaya belum pernah berjaya menewaskan skuad Naga Emas dalam mana-mana kejohanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN