Manchester United setuju ikat Cunha  

Manchester United setuju ikat Cunha  

MATHEUS CUNHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United dilaporkan bersetuju menandatangani penyerang Wolves, Matheus Cunha dengan kelab tersebut bersedia mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 62.5 juta pound (RM357.1 juta).

Setakat ini persetujuan lisan telah dicapai dengan Cunha akan menyertai United menerusi kontrak lima tahun, dengan pilihan untuk lanjutan setahun lagi yang akan disemak minggu depan.

United mengalami musim yang mengecewakan tewas dalam final Liga Europa kepada Tottenham, dan tidak akan bersaing dalam kejohanan Eropah musim depan hanya kali kedua dalam tempoh 35 tahun selepas menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-15.

Ruben Amorim amat terdesak untuk memperkuatkan bahagian serangannya dengan Rasmus Hojlund yang masih gagal menemui sentuhan manakala Alejandro Garnacho dan Marcus Rashford dijangka meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Cunha yang menandatangani kontrak baharu selama empat tahun bersama Wolves, Februari lalu telah menjaringkan 15 gol dan melakukan enam bantuan jaringan dalam liga musim ini, dan telah dikaitkan secara meluas dengan United sepanjang kempen.

April lalu, Mail Sport melaporkan Red Devils hampir mencapai persetujuan terma dengan pemain berusia 25 tahun itu.

Sebelum ini, pemain Brazil itu telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab semasanya sejak beberapa bulan lalu.

Amorim juga tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap Cunha, malah berbual dengan pemain itu selepas United tewas 2-0 di Molineux, Disember lalu, dan sekali lagi di terowong stadium ketika perlawanan timbal balik di Old Trafford bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai Cunha bulan lalu, Amorim berkata: “Saya tidak akan berkata apa-apa tentang Matheus, kerana jika saya memberi komen sekali, saya perlu beri komen untuk setiap situasi sama ada ya atau tidak.

“Saya tidak akan mengulas perkara itu. Sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan.”

Sementara itu, legenda United, Paul Scholes berkata, Cunha sepatutnya memilih destinasi lain.

Menjelaskan sebab beliau “bimbang” untuk penyerang itu dalam kolumnya di TNT Sports, Scholes menulis: “Dia kelihatan memiliki ciri-ciri yang diinginkan oleh Ruben Amorim.

“Amorim tahu dari segi fizikal, pasukannya tidak cukup kuat atau pantas, jadi Matheus Cunha jelas seorang yang atletik, dan dia mempunyai kualiti dengan 15 gol liga musim ini.” – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN