Malaysia sebenarnya milik siapa?

Malaysia sebenarnya milik siapa?

ETNIK Cina hanya layak menuntut pemilikan bersama ke atas negara ini sekiranya mengimbangi kemakmuran ekonomi-sosial secara munasabah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLEMIK tentang pemilikan negara ini timbul lagi. Pada kali ini, ia didebatkan sebagai dimiliki semua etnik, bukan hanya oleh Melayu-Islam. Dengan ini, negara ini mahu dihujahkan sebagai dipunyai semua, iaitu etnik Melayu, Cina, India selain anak negeri Sabah dan natif Sarawak. Ini kerana kesemuanya menjadikan negara ini tanah air mereka.

Dari satu segi, benar sekali kenyataan semua yang merupakan warganegara sama-sama memiliki negara ini tanpa apa-apa jua syarat dan had. Sehubungan ini, setiap seorang tanpa mengira etnisiti mempunyai pemilikan yang sama ke atas negara tercinta ini. Ia pertamanya berasaskan kerakyatan bersama, untuk antaranya diterima sebagai sebahagian daripada negara ini, selain dilindungi sebagai warganegara.

Dari segi lain, oleh sebab sikap negatif acuh tidak acuh yang diperlihat sesetengah etnik terhadap Malaysia, antaranya Cina yang menuntut pemilikan bersama ke atas negara ini menjadi isu. Ini kerana golongan berkenaan menunjukkan sikap antaranya tiada minat, tidak berbangga terhadap negara dan seumpamanya. Sikap mereka tidak dapat disangkal kerana memang wujud dalam etnik itu. Ini jelas sekali pada kelakuan negatif mereka walaupun pengakuannya adalah yang sebaliknya.

Sejujurnya etnik Cina, biarpun sebagai warganegara, tidak dapat dinafikan rata-ratanya ditanggapi sebagai penumpang sahaja.

Dengan kiasan ini, ia bermakna mereka adalah ahli pasukan yang tidak banyak bekerja kuat seperti ahli lain untuk kebaikan bersama, kecuali untuk diri sendiri sahaja.

Atau dengan kata lain, golongan ini tidak melangsaikan bahagian yang diagihkan kepada mereka untuk dijayakan bersama. Ini bermakna etnik berkenaan tidak pun menyumbang kepada bahagian yang diperlukan daripada mereka, yakni tanggungjawab sewajarnya dilunaskan.
Terpenting dalam hal ini dalam proses pembinaan negara bangsa, yakni pembikinan rakyat yang kuat jati diri kebangsaan, seperti dipersetujui etnik itu pada Perjanjian Etnik 1955 atau dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Dengan tiadanya penyertaan aktif lagi bermakna daripada mereka, implikasinya ialah etnik Cina tidak memenuhi kewajipan pada bahagian mereka dalam usahasama antara etnik yang wajib itu.

Natijahnya, etnik Cina hendaklah ikut memikul tanggungjawab untuk sama-sama menyumbang ke arah proses pembinaan negara bangsa yang berjaya. Dengan itu, etnik ini harus ikut berusaha keras selain menggembleng sumber dalam kadar munasabah dan yang diperlukan selain diharapkan daripada mereka.

Ini penting sekali. Ini kerana apabila ia tidak berlaku, yakni etnik Cina tidak mengotakan janji mereka pada Kontrak Sosial itu, ia bukan sahaja tidak adil tetapi membebankan etnik lain.

MASIH TIDAK KUASAI BAHASA MELAYU
Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam hal penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini. Mereka menjanjikan penerimaan sisi ini setelah diberikan kewarganegaraan pada 1957. Pun begitu, ia sehingga kini rata-ratanya tidak dikuasai dengan baik oleh etnik Cina.
Gejala kebahasaan ini tidak dapat dinafikan merencatkan penyatuan linguistik yang dihasratkan melalui bidang pendidikan di negara ini.

Ia sangat tidak adil kerana mereka menggendalakan proses pembinaan negara bangsa sehingga ia gagal.

Dengan tiadanya penguasaan baik dalam bahasa Melayu, ia memang membebankan. Ini dapat dilihat apabila bahasa Melayu tidak dapat berperanan sepenuhnya sebagai bahasa rasmi dalam ranah awam.

Dengan ini, penggunaan bahasa tidak rasmi bukan sahaja menambahkan perbelanjaan yang sama sekali tidak diperlukan.

Sehubungan ini, bahan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil perlu turut disediakan selain bahasa Melayu yang sewajarnya sudah diketahui dengan baik oleh semua.

Juga ia memberi implikasi buruk bahawa setelah sekian lama tertubuhnya negara dan bermulanya proses pembinaan negara bangsa, Malaysia masih di takuk lama. Ia terus berhadapan dengan masalah asas yang wujud pada masa awalnya sebagai negara moden.

Meskipun begitu, tidak dapat disangkal mana-mana pihak di negara ini bahawa etnik Cina adalah rakyat Malaysia yang banyak sekali menyumbang dari aspek ekonomi.

Dengan ini, mereka membayar cukai yang digunakan bagi membangunkan negara untuk kebaikan semua etnik lain.

Bidang ekonomi tidak dapat dinafikan adalah satu-satunya bukan sahaja diceburi, malah ditekuni etnik Cina. Dengan ini, penyertaan mereka dalam proses pembinaan negara bangsa amat terhad, iaitu hanya dalam bidang ekonomi.

Dalam pada ini, etnik Cina bukan sahaja berasa amat bangga membayar banyak cukai, juga mahu menganggap diri mereka sebagai warganegara baik, malah yang terbaik.

Justeru itu, mereka beranggapan wajib memiliki negara ini secara bersama, malah lebih berhak daripada yang lain-lain, termasuk etnik Melayu-Islam selaku penduduk asal, majoriti lagi dominan. Ini difahami mereka daripada falsafah wang adalah kuasa. Dengan ini, wang dapat menguasai semua perkara, khususnya kebendaan.

PERLU SEIMBANG
Dengan sikap yang hanya tertumpu kepada kebendaan semata-mata, etnik Cina bukan sahaja ditanggapi sebagai rakus, malah juga sebagai tidak patriotik. Justeru tidak layak sama sekali untuk turut memiliki negara ini, walaupun secara timbal, yakni pembahagian adil mengikut kewajaran nativisme-imigresen. Apatah lagi secara sama rata, iaitu agihan sama banyak untuk semua, lebih-lebih lagi dalam konteks imigresen yang membelakangkan nativisme.

Untuk menuntut pemilikan bersama yang akan diterima baik, etnik Cina wajib mengimbangi kemakmuran ekonomi yang selama ini menjadi tujuan tunggal mereka. Pengimbangan ini hendaklah diselaraskan dengan kemakmuran sosial yang dipandang sepi oleh mereka untuk sekian lamanya. Dengan adanya perimbangan antara dua kemakmuran ini, baharulah etnik Cina layak menuntut pemilikan bersama ke atas negara ini.

Dengan kemakmuran sosial, ia bermakna penguasaan bahasa Melayu akan lebih baik, komitmen sosial lebih terserlah kepada negara ini dan segala macam yang seumpamanya. Dengan ini, etnik Cina hendaklah lebih bersedia dalam bilangan besar untuk sama-sama mendukung nasionalisme Malaysia. Ia tidak lain tidak bukan adalah lambang dan proses sosiobudaya Melayu-Islam sebagai tunjuangnya.

Sehingga adanya perimbangan kemakmuran ekonomi-sosial yang munasabah kadarnya, etnik Cina tidak layak menuntut pemilikan bersama ke atas negara ini. Untuk perimbangan ini terjadi, mereka wajib mengutamakan nasionalisme Malaysia dan bukannya nasionalisme etnik Cina dalam kehidupan nasional mereka.

Ia wajib berlaku pada setiap masa dan di segenap pelosok negara ini yang diakui sebagai tanah tumpah darah mereka jua.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×