SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini sehingga 28 Mei bakal memberi banyak manfaat khususnya kepada Malaysia dan rakyat secara keseluruhannya.
Malah, kelebihan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan baik dengan negara-negara rantau juga memberi kelebihan kepada Malaysia terutama dalam menyuarakan pelbagai isu berbangkit dan menjalin kerjasama yang membawa manfaat kepada Malaysia.
Kepemimpinan Anwar dan kelebihannya dalam menjaga hubungan dengan negara luar, menjadikan Malaysia cukup dihormati bukan sahaja di rantau ini malah di seluruh dunia.
Sidang kali ini juga bakal menjadi platform penting untuk menetapkan hala tuju strategik dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Anwar ketika menjawab soalan mengenai hala tuju blok serantau ini yang berada dalam keadaan persaingan sengit geopolitik global, beliau berkata Malaysia bertekad memacu ASEAN melangkaui peranan tradisinya sebagai platform neutral ke arah menjadi suara yang lebih kohesif dan dipacu nilai di Indo-Pasifik.
“Sebagai sebahagian daripada teras tahun ini, kita memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keeratan ikatan ASEAN, meningkatkan kepentingan ekonomi, perdagangan dan melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” kata beliau.
Sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China itu, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan bersama. Ia juga bakal menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok tersebut bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.
Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu. Negara ini mengambil alih kepengerusian ASEAN dari Laos dengan tema kali ini ‘Keterangkuman dan Kemampanan’. Tema ini mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur. Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
PELBAGAI ISU DIBINCANGKAN
Sidang kemuncak ASEAN dijangka membincangkan pelbagai isu penting. Ia mencerminkan aspirasi dan cabaran semasa rantau ini dengan antaranya pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 yang merangkumi empat pelan strategik utama.
Pelan itu antaranya berkaitan komuniti politik dan keselamatan ASEAN yang menekankan kepentingan keselamatan serantau termasuk isu keselamatan maritim dan siber.
Selain itu, turut dijangka membincangkan mengenai komuniti ekonomi ASEAN yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, memajukan ekonomi digital dan memastikan pembangunan mampan.
Antara lain, akan membincangkan komuniti sosiolbudaya ASEAN yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, keterangkulan sosial dan pembangunan sumber manusia selain pelan strategik kesalinghubungan ASEAN. Ia bakal menggalakkan kesalinghubungan fizikal, institusi dan rakyat di seluruh rantau.
Visi tersebut bertujuan membentuk ASEAN sebagai rantau bersepadu, inklusif, mampan dan berdaya saing menjelang tahun 2045.
Pada sidang kemuncak itu juga dijangka membincangkan tentang penipuan pekerja dan pemerdagangan orang.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dijangka membawa isu jenayah penipuan pekerjaan sebagai satu daripada 10 agenda utama sidang tersebut.
Isu yang diiktiraf sebagai bentuk pemerdagangan orang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN dijangka membincangkan langkah kolektif untuk menangani masalah ini.
Selain itu, berkaitan pengukuhan ekonomi digital dan keselamatan siber yang dilihat menjadi antara agenda penting yang akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi digital di seluruh ASEAN termasuk meningkatkan kerjasama dalam keselamatan siber, mempercepatkan transformasi digital serta mengukuhkan rantaian nilai serantau.
Langkah tersebut bertujuan menjadikan ASEAN sebagai wilayah ekonomi digital yang terpadu dan berdaya saing.
Selain itu, krisis politik di Myanmar juga dijangka dibangkitkan dengan penekanan kepada pelaksanaan konsensus lima perkara yang dipersetujui sebelum ini.
Malaysia dijangka mencadangkan mekanisme penilaian berkala dan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti PBB untuk memastikan kemajuan yang konkrit.
Selain itu, sidang kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadualkan pada 27 Mei pula dijangka membincangkan mengenai pengukuhan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN, GCC dan China.
Ia sebagai respon terhadap ketegangan perdagangan global, khususnya akibat tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) selain peningkatan kerjasama dalam sektor tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui.
Kerjasama itu, bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi rantau dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.
Antara lain, pembangunan bandar pintar dan kelestarian dengan ASEAN akan memperkukuh inisiatif ASEAN Smart Cities Network untuk menyelaraskan pembangunan bandar pintar di seluruh rantau.
Fokus dijangka diberikan kepada integrasi teknologi dalam pengurusan bandar, peningkatan daya tahan bandar terhadap perubahan iklim, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan biodiversiti.
Langkah tersebut selaras dengan komitmen ASEAN terhadap pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










