LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot terkejut dengan prestasi anak-anak buahnya selepas tumpas 1-3 kepada Chelsea, sekali gus merosakkan imej selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus kelahiran Belanda itu kecewa kerana The Reds gagal meneruskan rentetan kejayaan selepas memenangi kejuaraan minggu lalu dan bakal diraikan dengan penuh gemilang di Anfield.
Bagaimanapun, Slot tetap memuji pasukannya kerana menguasai bola dan menjaringkan gol yang mengekalkan rekod mereka meledak dalam setiap perlawanan liga di tempat lawan musim ini.
“Chelsea pasukan yang baik, mereka memberi saingan sengit kepada Liverpool ketika tewas 1-2 di Anfield pada Oktober dan kali ini mereka berjaya menang.
“Saya jangka mereka akan menjadi ancaman musim ini. Untuk berada (19) mata di hadapan mereka adalah satu pujian besar buat kami.
“Saya akui ini bukan prestasi sebenar Liverpool biarpun kami beraksi dengan sebahagian besar skuad kedua,” kata Slot
Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Enzo Maresca mendahului menerusi gol awal Enzo Fernandez pada minit ketiga di Stamford Bridge.
Gol sendiri jaringan pertahanan Liverpool, Jarell Quansah pada minit ke-56 diikuti gol lewat kapten The Reds, Virgil van Dijk lima minit sebelum tamat.
Penalti pada minit keenam masa kecederaan disempurnakan oleh Cole Palmer menyaksikan pasukan juara itu mengalami kekalahan ketiga mereka dalam liga musim ini. – AGENSI/UTUSAN










