KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri sedia menjadi benteng bagi menjayakan agenda penyatuan ummah demi memastikan suara dan kepentingan bangsa Melayu terus terbela.
Ketiga-tiga sayap juga bersedia memperkukuh gerakan untuk menjayakan agenda tersebut, tanpa menafikan hak kaum lain.
Menegaskan penyatuan itu merupakan antara tuntutan dan kehendak orang Melayu ketika ini, ketiga-tiga sayap akan menyusun strategi yang lebih berkesan bagi merealisasikan aspirasi berkenaan, selain memperkukuh kedudukan parti untuk kembali menjadi kuasa dominan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sayap UMNO itu sedia menjadi benteng bagi memastikan pelaksanaan agenda penyatuan ummah direalisasikan dan tidak terhenti hanya di meja politik.
Beliau juga memberi jaminan agenda penyatuan ummah itu tidak akan memberi kesan buruk kepada golongan bukan Melayu atau menjadi ancaman kepada mana-mana pihak di negara ini.
“Apabila bercakap mengenai penyatuan ummah, saya mahu ingatkan sahabat Cina dan India yang ia bukanlah ancaman kepada sesiapa.
“Membela Melayu bukan bererti mahu bermusuh dengan bukan Melayu, manakala memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut lain kerana dalam Islam, kita diajar kepimpinan kuat mesti berlaku adil kepada seluruh rakyat.
“Jangan risau sahabat dari kaum Cina dan India. Barisan Nasional (BN) sudah ada bukti. Sebelum mereka cakap pasal penyatuan (dan) perpaduanlah, BN sudah ada bukti,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sini, semalam.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya mempersoalkan pendirian UMNO untuk membuka ruang kerjasama dengan Pas, sebaliknya perlu bermuhasabah kerana didakwa berkali-kali memaksa parti itu memilih antara kuasa dan prinsip.
Beliau berkata, pengalaman berdepan PH termasuk dalam isu yang menyentuh prinsip, maruah serta sensitiviti Melayu dan Islam menyebabkan UMNO perlu menilai semula hala tuju politiknya.
Tambahnya, ketika semua pihak memandang sinis tentang penyatuan itu, sayap Pemuda terus konsisten sehingga hari ini menyeru ke arah perpaduan.
“Kalau ada yang tanya kita kenapa UMNO mahu mengubah jalur politiknya untuk bersama Pas, saya nak beritahu, jangan tanya UMNO, tetapi tanyalah Pakatan Harapan mengapa mereka berkali-kali memaksa UMNO memilih antara kuasa dan juga prinsip,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, dalam membentuk sebarang kerjasama politik, UMNO perlu konsisten dengan pendirian tanpa menghakis identiti kerana parti itu lahir daripada kesedaran orang
Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air.
“Kerjasama tidak boleh menghakis identiti. Identiti pula tidak boleh menjadi alasan untuk menolak kerjasama. Kita mesti bijak menjaga kedua-duanya.
“Ada masanya kita terlalu berhati-hati. Hendak bercakap soal Melayu, takut orang kata kita terlalu Melayu. Hendak bercakap soal Islam, takut disalahertikan. Hendak mempertahankan UMNO, takut dikatakan tidak menjaga hati rakan.
“Wanita mahu bertanya. Sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?” soalnya dalam ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO.
Senada dalam menyuarakan penyatuan Melayu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi turut menegaskan, penyatuan tidak boleh hanya dibina melalui seruan ‘mari kita bersatu’, sebaliknya memerlukan kepercayaan antara rakyat dan pemimpin bagi memastikan kesatuan itu mampu bertahan.
Katanya, orang Melayu kini sudah letih melihat perpecahan dan mahu pemimpin mencari lebih banyak titik persamaan berbanding alasan untuk terus bertembung.
“Ramai orang Melayu yang sudah letih melihat perpecahan. Ada yang bertanya, mengapa perbezaan politik terus dijadikan alasan untuk kita saling menjauh. Ada yang mahu melihat pemimpin Melayu mencari lebih banyak titik persamaan daripada alasan untuk terus bertembung,” katanya.
Beliau berkata, suara rakyat tidak boleh diketepikan hanya kerana pemimpin terlalu sibuk dengan pertelingkahan politik sehingga gagal mendengar keresahan rakyat.
“Penyatuan yang mahu bertahan juga memerlukan kepercayaan. Kalau rakyat tidak percaya kepada kita, seruan penyatuan hanya tinggal seruan. Kalau antara pemimpin sendiri tidak ada kepercayaan, kesatuan mudah pecah apabila kepentingan berubah,” katanya.
Ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin sayap UMNO itu selari dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpandangan orang Melayu tidak peduli formula atau bentuk kerjasama politik sebaliknya hanya mahukan perwakilan politik Melayu-Islam yang kuat dan dominan.
Beliau berkata, perkara itu antara isyarat penting yang dapat dilihat menerusi kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Orang Melayu inginkan perwakilan politik Melayu-Islam yang kuat. Bagaimana ia harus diterjemahkan, terpulanglah kepada UMNO.
“Maknanya, orang Melayu tidak peduli dengan formula politik kita. Bagi mereka, tidak perlu pelbagai koalisi demi koalisi atau perikatan itu dan pakatan ini,” katanya. – UTUSAN










