Kepulangan Azizulhasni cabar pelumba muda 

Kepulangan Azizulhasni cabar pelumba muda   

Azizulhasni Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan semula jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut berpasukan  bakal merangsang pertarungan merebut tempat ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Pengarah berbasikal trek kebangsaan, John Beasley menjelaskan Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu akan memberi fokus penuh terhadap acara tersebut termasuk Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2025 di Santiago, Chile pada Oktober ini.

Azizulhasni yang mesra disapa ‘Jijoe’ itu sebelum ini hanya lebih melakukan latihan pada acara pecut dan keirin individu sejak beberapa tahun kebelakangan ini bersama rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Menurut Beasley, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu dijangka menjadi pelumba pertama dalam formasi tiga pelumba, sementara pelumba kedua dan ketiga masih terbuka untuk direbut.

“Ia berita gembira buat kami, tetapi pada masa sama, tekanan kepada pelumba muda juga meningkat kerana hanya yang terbaik akan dipilih.

“Shah Firdaus, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena akan diuji prestasi masing-masing menjelang penilaian akhir pasukan.

“Persaingan ini sihat dan penting, kerana setiap pelumba kini tahu tempat mereka tidak selamat dan perlu bekerja keras,” kata Beasley.

Azizul sebelum ini mempertimbang persaraan selepas Sukan Olimpik Paris 2024, namun memilih untuk kekal sebagai pelumba bebas dan menyasarkan impak besar di pentas Asia.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018 dan perak pada edisi Hangzhou 2022, dan kini memburu emas pertama negara dalam sejarah pecut berpasukan Sukan Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×