MENYELUSURI arus pemodenan yang bergerak seiring perkembangan teknologi, masyarakat muda khususnya Generasi Z (Gen Z), lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an, kini semakin matang dalam membuat keputusan terutama daripada aspek pilihan kerjaya.
Meskipun golongan ini sering dimomokkan sebagai generasi ‘manja’ dari segi emosi berbanding yang lain, tetapi tuntutan mereka membuka mata ramai pihak terutama majikan untuk menyediakan suasana tempat kerja lebih kondusif dan sihat.
Statistik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) merekodkan sebanyak 352 kertas siasatan dibuka sepanjang Januari 2024 sehingga Mac tahun ini berkaitan pelbagai isu kebajikan pekerja di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265) serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Penambahan kes dan siasatan menunjukkan generasi masa kini semakin cakna tentang isu dunia pekerjaan.
Malah, netizen lebih memilih untuk meletak jawatan meskipun masih belum mendapat pekerjaan lain sekiaranya persekitaraan tempat kerja tidak menyokong kehendak dan kemahuan mereka. Ini disuarakan anak muda sebagaimana video tular di aplikasi TikTok yang membincangkan pilihan kepada pekerja yang mengalami suasana tidak kondusif di pejabat.
Bagi golongan ini kesejahteraan mental dan fizikal perlu menjadi keutamaan.
Punca utama situasi ini berlaku kerana persekitaran tempat kerja toksik atau tidak sihat yang secara tidak langsung akan membebankan emosi sehingga menjejaskan kesihatan pekerja.
Majikan yang bersikap acuh tidak acuh menggaji pekerja tanpa mengambil berat kebajikan kakitangan kini berdepan risiko keluar masuk pekerja. Jika berterusan, ia akhirnya akan meletakkan majikan di posisi yang membebankan.
Kadar pekerja yang meninggalkan organisasi (turnover) sama ada berhenti atau diberhentikan memberikan kesan besar kepada organisasi memandangkan permintaan kadar gaji sudah meningkat selaras dengan kenaikan kos sara hidup.
Majikan yang tidak menghormati masa pekerja terutamanya memaksa pekerja untuk bekerja lebih masa tanpa sebarang bayaran juga menjadi salah satu budaya tidak sihat. Hal ini sering dibincangkan golongan muda di media sosial.
Ketua Modal Insan Kumpulan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang berpengalaman selama 15 tahun dalam pengurusan modal insan dan sumber manusia berkata Gen Z akan merasa lebih berjaya jika berada di bawah ketua yang dapat memberi tunjuk ajar dan bukannya bersikap mengawal semata-mata. Mereka juga tidak teragak-agak untuk meninggalkan organisasi yang tidak selari dengan nilai hidup mereka.
BERANI AMBIL TINDAKAN
Golongan belia terutama Gen Z dilihat lebih berani ke hadapan bagi menuntut keadilan dan tidak hanya membiarkan penindasan terus berlaku.
Baru-baru ini tular sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial, apabila seorang majikan melakukan kekerasan terhadap pekerjanya sehingga mengalami kecederaan di bahagian muka yang akhirnya menyebabkan kakitangan tersebut membuat laporan polis.
Kejadian sebegini bukan hanya mencederakan fizikal namun pasti meninggalkan trauma mendalam buat mangsa.
Dengan bantuan kuasa tular di media sosial, ia membuka mata lebih ramai pihak mengenai wujudnya tempat kerja yang tidak sihat. Pekerja pula kini tidak teragak-agak dalam mengambil tindakan.
Malah, seorang pekerja yang mengalami persekitaran toksik di pejabat disaran untuk sentiasa menyimpan bukti-bukti penindasan agar tindakan sewajarnya boleh diambil kelak, terutamanya apabila membabitkan kecederaan fizikal.
Di Malaysia, aduan berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan boleh diadukan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) khususnya berkaitan tuntutan kewangan berdasarkan Akta 265.
Mahkamah Perusahaan juga adalah salah satu alternatif lain untuk pekerja mengambil tindakan apabila membabitkan tuntutan ke atas majikan untuk pembuangan kerja secara tidak sah (unlawful dismissal).
Selain itu, pekerja juga boleh mengambil tindakan di mahkamah sivil bagi menuntut keadilan meskipun prosiding mahkamah memerlukan kos lebih tinggi dan peruntukan masa yang panjang.
Hak-hak pekerja perlu terus dititikberatkan. Kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada awal tahun ini merupakan inisiatif kerajaan yang wajar dipuji. Tidak kurang juga kenaikan gaji penjawat awam yang dilakukan secara berperingkat sebagai bukti pemerkasaan hak-hak pekerja.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, langkah itu dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli.
Selain itu, beliau juga percaya dasar kenaikan gaji tersebut boleh menggalakkan peningkatan produktiviti dan daya saing tenaga kerja.
Malaysia kini dilihat sedang bergerak ke arah pemerkasaan hak-hak pekerja dengan kebangkitan Gen Z yang menggesa majikan mengubah cara pengendalian pekerja ke arah lebih kondusif.
Isu penindasan oleh majikan mahupun rakan sekerja tidak wajar dipandang remeh sama sekali. Majikan dan pekerja perlu saling bekerjasama memupuk satu budaya kerja yang sihat termasuklah mendapatkan bimbingan kerjaya daripada majikan.
Budaya kerja sihat dan mengutamakan hak-hak pekerja boleh melahirkan suasana masyarakat yang harmoni, sihat dan berdaya saing.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










