Fokus kesihatan mental dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS

Fokus kesihatan mental dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS

PEMILIHAN Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memberi ruang yang luas untuk mengetengahkan isu kesihatan mental selari dengan peningkatan kesedaran global dan keperluan domestik negara-negara ASEAN pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC China sudah melabuhkan tirainya.

Kini, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, masih menanti pengesahan daripada Amerika Syarikat (AS) bagi tarikh Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS. Permintaan Malaysia untuk diadakan pada tahun ini.

Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memberi ruang yang luas untuk mengetengahkan agenda pembangunan yang lebih inklusif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

Sebagai salah satu negara pengasas ASEAN sejak penubuhannya pada 1967, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan hubungan serantau dan menangani cabaran bersama.

Pastinya fokus ASEAN-AS tertumpu isu ekonomi seperti tarif, perdagangan dan menggalakkan kerjasama pelbagai hala, namun dengan reputasi sebagai negara yang konsisten dalam membawa pendekatan damai dan pembangunan mampan, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin pelaksanaan dasar-dasar yang menjadikan kesihatan mental sebagai salah satu tonggak penting dalam pembangunan serantau.

Isu ini wajar diangkat sebagai isu utama yang selari dengan peningkatan kesedaran global dan keperluan domestik negara-negara ASEAN.

Kesihatan mental tidak lagi boleh dipandang sebagai isu individu semata-mata, sebaliknya ia merupakan elemen penting dalam pembangunan sosioekonomi dan ketahanan masyarakat.

Tekanan mental yang tidak ditangani boleh menjejaskan produktiviti tenaga kerja, melemahkan institusi keluarga dan menyumbang kepada beban ekonomi yang besar.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), gangguan kesihatan mental menyebabkan kerugian ekonomi global sebanyak AS$ 1 trilion (RM4.2 trilion) setiap tahun. Dalam konteks ASEAN yang sedang giat membangun, pelaburan dalam kesihatan mental adalah prasyarat kepada kemajuan yang mampan.

Data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 86 juta penduduk ASEAN mengalami pelbagai gangguan mental, antaranya kemurungan, kebimbangan dan skizofrenia.

Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi dengan sekitar 19 juta kes, diikuti Filipina (15 juta) dan Vietnam (10 juta). Myanmar mempunyai kadar kemurungan tertinggi sekitar 7 peratus, manakala Thailand melaporkan kadar yang lebih rendah iaitu 3 peratus, tetapi mencatat peningkatan dalam kalangan remaja.

Malaysia, Singapura dan Brunei menunjukkan kadar kebimbangan yang tinggi, melebihi 10 peratus populasi, akibat tekanan hidup moden.

Di Laos dan Kemboja, kecelaruan kebimbangan lebih dikaitkan dengan faktor kemiskinan dan kekurangan sokongan sosial. Isu kesihatan mental juga semakin ketara dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan warga emas, khususnya di Thailand dan Vietnam.

Kemiskinan dan ketidaksamarataan sosial kekal sebagai punca utama gangguan kesihatan mental. Ramai penduduk di rantau ini masih menghadapi halangan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan serta kemudahan asas.

Tekanan hidup akibat kekurangan sumber ini mendorong kepada peningkatan kes kemurungan, kebimbangan dan tekanan emosi yang kronik. Dalam hal ini, Malaysia boleh mempromosikan pendekatan holistik yang menghubungkan kesihatan mental dengan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Urbanisasi yang pesat di ASEAN turut mencetuskan cabaran baharu. Kehidupan di bandar sering dikaitkan dengan kos sara hidup tinggi, pencemaran, serta gaya hidup yang menekan, sekali gus memberi impak negatif terhadap keseimbangan mental.

Dalam kalangan warga emas pula, peningkatan populasi dan kekurangan sokongan keluarga mengakibatkan lonjakan kes kemurungan dan demensia. Kesihatan mental kanak-kanak dan remaja juga semakin membimbangkan, terutama akibat tekanan akademik, ketidakstabilan rumah tangga dan penggunaan media sosial yang berlebihan.

Rantau ASEAN kini berada dalam fasa urbanisasi yang pesat, dengan migrasi besar-besaran penduduk ke kawasan bandar dalam usaha mencari rezeki dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Dalam Islam, konsep keseimbangan hidup amat dititikberatkan dan kegagalan dalam menjaga kesihatan mental boleh menjejaskan keutuhan akal dan jiwa, yang merupakan antara komponen utama dalam maqasid syariah.

Di samping itu, peningkatan populasi warga emas di rantau ini juga menuntut perhatian khusus. Islam menggalakkan penghormatan dan penjagaan terhadap golongan berusia dan ihsan kepada orang tua, termasuk aspek kesihatan mental mereka yang sering terabai dalam perancangan kesihatan awam.

TANGANI SECARA MENYELURUH
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berupaya mengetuai pelbagai inisiatif penting untuk menangani cabaran kesihatan mental secara menyeluruh. Antara keutamaannya ialah menghapuskan stigma sosial yang masih kuat mengelilingi isu ini.

Ramai individu enggan mendapatkan rawatan kerana takut dicap sebagai lemah atau tidak stabil. Malaysia boleh memimpin kempen kesedaran serantau untuk mengubah persepsi ini dan mewujudkan budaya yang lebih terbuka terhadap perbincangan mengenai kesihatan mental.

Di samping itu, kekurangan tenaga profesional dalam bidang psikologi, psikiatri dan kaunseling masih menjadi masalah utama di banyak negara ASEAN. Malaysia boleh memainkan peranan sebagai hab latihan serantau, menawarkan program pembangunan kapasiti dan pertukaran kepakaran sesama negara anggota ASEAN untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia di seluruh rantau.

Penggunaan teknologi juga harus dimanfaatkan. Malaysia boleh menerajui pembangunan platform digital yang membolehkan perkhidmatan kesihatan mental diakses oleh komuniti luar bandar dan golongan marginal. Pendekatan digital ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah boleh mengurangkan jurang akses perkhidmatan kesihatan antara bandar dan desa.

Malaysia juga boleh mencadangkan penubuhan Jaringan Kesihatan Mental ASEAN yang berfungsi sebagai platform pertukaran ilmu, perkongsian amalan terbaik dan penyelarasan dasar kesihatan mental di peringkat serantau. Ini termasuk mewujudkan mekanisme pembiayaan bersama untuk menyokong pelaksanaan projek kesihatan mental yang berskala besar.

Selain kerjasama serantau, Malaysia boleh bekerjasama rapat dengan pertubuhan antarabangsa seperti WHO dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk mendapatkan sokongan teknikal serta kewangan.

Melalui pendekatan bersepadu menggabungkan aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti, Malaysia boleh meletakkan kesihatan mental sebagai keutamaan dasar serantau ASEAN.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×