Beri pelepasan cukai penuh untuk tarik penaja sukan

Beri pelepasan cukai penuh untuk tarik penaja sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Liga Malaysia (Liga M) hanya bergantung harap kepada syarikat sama saban tahun untuk mendapat penajaan berikutan skala ekonomi bola sepak yang kecil.

Malah, pengecualian cukai rendah juga menyebabkan syarikat-syarikat dalam Malaysia kurang berminat melabur dalam sukan bola sepak dan juga sukan lain sekali gus menyaksikan ‘syarikat sama’ menjadi penaja.

Perkara itu diakui bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj, berkata kalau dilihat penaja-penaja dalam bola sepak kebanyakkan adalah syarikat sama.

Ujarnya, aspek pengecualian cukai kepada penaja juga wajar dilihat semula kerana ia diyakini mampu menarik minat syarikat untuk turut serta dalam bola sepak, selain memberi contoh Liga bola sepak Jepun yang maju ekoran kerajaan mereka meluluskan akta sukan yang menyaksikan bola sepak mendapat pelepasan cukai 100 peratus.

“Daripada segi penajaan, balik-balik syarikat sama sebab ekonomi bola sepak kita agak kecil dimana (pasukan) nak hantar kertas (kerja untuk dapatkan) penajaan pun kepada syarikat sama. Bukan saja bola sepak, badminton dan hoki pun penaja yang sama. 

“(Pemilik kelab) buat apa pun pelaburan tetapi kalau stadium tidak penuh atau makin berkurang, penaja pun akan tarik diri. Salah satu sebab Liga Jepun maju, akta sukan yang diluluskan menyaksikan bola sepak mendapat pelepasan cukai 100 peratus.

“Kalau syarikat di Malaysia, hanya dapat 10 atau 12 peratus, jadi itu belum cukup. GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun kita terhad, berapa pasukan saja yang boleh pergi kepada GLC,” katanya.

Dalam masa sama, Christopher tidak merasakan elemen publisiti menjadi permasalahan utama hingga menyebabkan kurangnya minat syarikat untuk tampil hulurkan tajaan.

Jelasnya ekonomi berkaitan bola sepak di negara ini terlalu kecil dan ia agak berbeza dengan negara jiran, Indonesia yang memiliki ekonomi lebih besar.

“Kita bukan macam Indonesia yang ada banyak penaja, jumlah ekonomi (bola sepak) besar. Saya juga rasa daripada segi promosi Liga Malaysia (Liga M) salah satu liga di Asia yang mendapat promosi yang bagus.

“Daripada segi penyiaran, sosial media dan sebagainya. Tetapi kalau seseorang itu mahu melabur, kita kena tanya apakah ROI (pulangan) untuk mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×