SEIRING dengan tema Hari Belia Negara 2025, Yakin Boleh, generasi muda diseru untuk melangkah berani, memperkukuh potensi diri dan tampil sebagai agen perubahan yang membawa Malaysia ke arah masa hadapan lebih maju, sejahtera dan inklusif.
Maka, pendekatan Pembangunan Belia Positif menjadi wadah strategik dalam usaha memperkasa belia yang berketerampilan, berakhlak dan berdaya tahan. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan kekuatan dalaman belia serta penyediaan persekitaran yang menyokong pertumbuhan mereka secara menyeluruh.
Golongan ini perlu diperkasa dengan kemahiran abad ke-21 seperti celik digital, kemahiran berkomunikasi secara efektif dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Bagi memenuhi keperluan ini, akses kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran inovatif serta latihan berteraskan industri harus diperluas agar belia dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran kerja masa kini dan akan datang.
Pendekatan ini akan membolehkan mereka menguasai pengetahuan praktikal dan kemahiran teknikal yang selaras dengan kehendak pasaran semasa, tanpa mengabaikan kecemerlangan akademik yang menjadi asas penting dalam pembangunan intelek dan pemikiran strategik.
Belia juga harus berani mencuba perkara baharu, mencetus idea inovatif dan tampil memimpin dengan penuh yakin. Ia memberi kekuatan psikologi yang mendorong belia melangkah keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran secara proaktif.
Penglibatan dalam aktiviti kepimpinan, forum belia, persatuan mahasiswa serta program simulasi dasar seperti Parlimen Belia Malaysia bukan sahaja melatih kemahiran komunikasi dan pengurusan, tetapi juga membuka ruang memperkukuh suara dan pengaruh dalam isu-isu yang berkaitan dengan masa hadapan negara.
Nilai moral dan etika merupakan asas dalam pembentukan belia yang berintegriti, bertanggungjawab dan berprinsip.
Dalam usaha membina generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari aspek pembangunan inteleknya, tetapi juga teguh dari segi sahsiah, pendekatan pendidikan berasaskan nilai perlu diberi penekanan secara menyeluruh.
Belia yang diasuh dengan nilai integriti, amanah, kejujuran dan disiplin akan lebih bersedia untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan etika dan tanggungjawab sosial.
Dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kekuatan perwatakan menjadi elemen penting untuk mewujudkan keharmonian, saling menghormati dan semangat kebersamaan.
Mereka yang memiliki asas perwatakan kukuh ini bukan sahaja dilihat sebagai individu dipercayai, tetapi juga mampu menjadi pemimpin akar umbi. Ini kerana mereka membawa aspirasi masyarakat secara inklusif.
Sementara keprihatinan merupakan elemen penting dalam pembangunan sahsiah yang seimbang dan berdaya saing.
Dalam konteks pembinaan negara bangsa, keprihatinan bukan sekadar nilai moral, tetapi turut berfungsi sebagai pemangkin kepada keterlibatan aktif belia dalam membina masyarakat yang inklusif dan harmoni.
Penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti terbukti sebagai medium berkesan dalam menyemai nilai empati, semangat kerjasama dan solidariti merentas latar belakang.
Melalui penyertaan dalam misi bantuan kemanusiaan, program kebajikan, pemulihan alam sekitar dan pendidikan komuniti, belia berpeluang untuk melihat realiti kehidupan golongan rentan dan memahami cabaran yang dihadapi pelbagai lapisan masyarakat.
Pendedahan ini memberi kesan mendalam terhadap pembentukan jati diri sosial dan meningkatkan kepekaan terhadap isu-isu kemanusiaan, ekonomi dan alam sekitar.
Dalam pada itu, jaringan sokongan yang kukuh sama ada melalui rakan sebaya, keluarga, komuniti setempat atau institusi memberi ruang untuk memperoleh dorongan, bimbingan serta rasa kebersamaan yang sangat diperlukan dalam fasa pembentukan identiti dan kematangan diri.
Hubungan yang positif bukan sahaja menyumbang kestabilan emosi, malah meningkatkan keyakinan diri dan motivasi intrinsik belia untuk mencapai potensi maksimum.
Dalam konteks ini, hubungan berfungsi sebagai sistem perlindungan bagi mengurangkan risiko terjebak dalam gejala sosial atau masalah kesihatan mental yang membimbangkan.
AGEN PERUBAHAN
Sumbangan aktif belia dalam masyarakat bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial tetapi menjadi manifestasi kepada potensi sebenar generasi muda sebagai agen perubahan yang dinamik dan berwawasan.
Dalam kerangka pembangunan negara yang inklusif dan progresif, belia perlu diyakinkan suara, tindakan dan idea mereka mempunyai nilai dan mampu membawa impak nyata kepada komuniti serta hala tuju negara.
Penglibatan belia dalam projek komuniti membolehkan mereka memahami keperluan akar umbi serta bertindak menyelesaikan isu-isu setempat secara berstrategi.
Program pembangunan ekonomi setempat seperti koperasi belia, agrobelia dan perniagaan mikro memberi ruang kepada mereka menjana pendapatan sambil memperkasa ekonomi komuniti.
Pendekatan ini bukan sahaja membina daya tahan ekonomi, malah menanamkan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.
Belia memiliki potensi luar biasa dalam menjana inovasi sekiranya bakat dan pemikiran mereka digilap melalui persekitaran yang menyokong serta ruang eksperimen kondusif.
Bukan itu sahaja, kreativiti bukan sekadar berkaitan inovasi teknologi, tetapi juga merangkumi kemampuan dalam menyampaikan mesej positif, membentuk naratif baharu serta mengangkat nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Kreativiti merupakan pemacu kepada lahirnya generasi pencipta, pemikir dan pemimpin yang mampu menggerakkan negara ke arah masa hadapan lebih lestari.
Kesimpulannya, tema Yakin Boleh bukan sekadar slogan, tetapi merupakan seruan tegas untuk membangkitkan semangat, mencabar potensi dan memperkasa seluruh ekosistem pembangunan belia Malaysia.
Dalam dunia yang semakin kompetitif dan tidak menentu, negara memerlukan barisan belia yang bukan hanya yakin pada kemampuan diri tetapi juga berani mencipta perubahan, memimpin dengan nilai dan menyumbang secara aktif dalam semua lapisan masyarakat.
Kita tidak boleh lagi sekadar melihat belia sebagai aset masa hadapan, tetapi sebagai rakan strategik masa kini yang wajar diberi ruang, suara dan kepercayaan.
Masa hadapan Malaysia yang cemerlang dan berdaya tahan hanya dapat direalisasikan melalui pelaburan strategik yang menyeluruh dalam memperkukuh kapasiti, memperteguh integriti selain memacu daya inovatif golongan itu.-UTUSAN
DR. Nor Azrul Mohd. Zin ialah daripada Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










