PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memberi isyarat besar untuk memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) sekali lagi apabila mencatat masa luar biasa 10.01 saat (s) pada sesi kelayakan Kejohanan Trek dan Padang Universiti Appalachian di Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Walaupun catatan itu tidak diiktiraf kerana bantuan angin melebihi had (+4.7), ia cukup untuk mengesahkan lonjakan prestasi pelari sensasi Malaysia itu menjelang kepulangannya ke tanah air bagi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 4 hingga 6 Julai ini.
Azeem, yang mewakili Universiti Auburn, terus unggul apabila muncul juara pada aksi final dengan catatan 10.09s (+3.7), menewaskan pelari AS, Deonte Hardy (10.41s) dan Armonte Ferguson (10.43s).
Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard berkata, pelari berusia 21 tahun itu mampu memecahkan rekod kebangsaannya lagi terutamanya Terbuka Malaysia yang semakin hampir.
“Azeem berlari dengan sangat cemerlang, tetapi angin kuat menyebabkan masa itu tidak boleh dikira sebagai rekod kebangsaan.
“Azeem akan kembali ke Kuala Lumpur bagi kejohanan Terbuka Malaysia dan kami berharap beliau dapat memadam rekod kebangsaan sekali lagi untuk mendapat mata bonus bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia,” kata Ballard kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Azeem memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, pada 2022.
Mengikut format pertandingan, pelari kelahiran Teluk Intan itu harus mencatat masa dibawah 10s yang mana catatan terbabit merupakan had kelayakan ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada 13 hingga 21 September ini.
Dalam pada itu, Ballard berkata, Azeem menunjukkan perkembangan pantas dibawah kendalian jurulatihnya dari Zimbabwe, Ken Harnden dan kini berada dalam landasan terbaik untuk ke grand final Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS (NCAA).
“Semua usahanya selama ini dalam latihan membuahkan hasil dan kekuatan badannya sudah meningkat. Selepas mencatat masa 10.01s, Azeem pastik akan menaikkan ranking dunia,” katanya. – UTUSAN










