KUALA LUMPUR: Pasukan ASEAN All-Star mahu melakar kejutan ke atas Manchester United dalam pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Pengendali ASEAN All-Star, Kim Sang-sik berkata, para pemainnya bersemangat untuk menentang kelab besar seperti United biarpun dikumpulkan dalam masa yang singkat.
“Kami amat gembira apabila diberi peluang untuk mengharungi perlawanan ini di Malaysia dan selamat datang kepada Manchester United Asia Tenggara.
“Skuad kami akan dibarisi pemain terbaik dari rantau Asia Tenggara dan kami serius untuk menghadapi perlawanan ini. Sudah pasti kami mahu menang dan kami akan bekerja keras untuk memberikan yang terbaik.
“Kami sempat menjalani satu sesi latihan sebelum berdepan United esok (malam ini). Saya harap semuanya akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan, semalam.
Sementara itu, Kapten ASEAN All-Star, Sergio Aguero berkata, status United sebagai gergasi Eropah bukan halangan untuk pemain ASEAN All-Star mempamerkan aksi terbaik.

“Kami sedar pasukan United salah satu kelab besar. Namun, sudah pasti kami juga mahu lakukan yang terbaik dan memenangi perlawanan,” katanya.
Skuad kendalian Sang-sik dibarisi pemain terbaik Asia Tenggara dalam misi mengekang The Red Devils termasuk empat bintang Australia iaitu, Harrison Delbridge, Adrian Segecic, Yaya Dukuly dan Kealey Adamson.
Sementara itu, lima tonggak Harimau Malaya turut dipanggil bagi menyertai pasukan iaitu Haziq Nazli, Declan Lambert, Azam Azmi, Adib Ra’op dan Aguero.
Turut tersenarai, dua pemain Filipina, Sandro Reyes dan juga Amani Aguinaldo selain beberapa pemain dari Brunei, Thailand, Timor Leste dan lain-lain. – UTUSAN










