BOWLING GREEN: Charlie Woods, anak kepada legenda golf Tiger Woods, mencipta sejarah apabila meraih kejuaraan sulung dalam Persatuan Golf Remaja Amerika (AJGA) di Kejohanan Jemputan Team TaylorMade, Florida semalam.
Remaja berusia 16 tahun itu mencatat kemenangan tiga pukulan selepas menamatkan kejohanan dengan skor keseluruhan 15 di bawah par di Black Course, Streamsong Resort.
Charlie yang bermain dalam acara AJGA kelimanya, memulakan pusingan akhir satu pukulan di belakang pendahulu Luke Colton sebelum melakukan enam di bawah par 66, termasuk lapan birdie dan dua bogey.
“Ini sangat bermakna kerana saya belum benar-benar beraksi di tahap tertinggi sebelum ini. Untuk akhirnya melakukannya selepas semua usaha yang saya lakukan dan tidak bermain dengan baik dalam acara besar sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya tahu saya jauh lebih baik daripada itu, dan untuk semuanya akhirnya bersatu adalah perasaan yang hebat,” kata Charlie.
Sebelum ini, keputusan terbaik Charlie di peringkat AJGA hanya di kedudukan ke-25 di Kejohanan Jemputan Junior Sage Valley, Mac lalu.
Kemenangan ini menyaksikan Charlie menewaskan pencabar utama seperti Willie Gordon (65), Phillip Dunham (68) dan Colton (70) yang berkongsi tempat kedua.
Nama Charlie kini semakin menyerlah sebagai pewaris kepada legasi Woods, selepas lima kali beraksi bersama bapanya dalam Kejohanan PNC sejak 2020. – AGENSI/UTUSAN










