KELANTAN terus menjadi antara kawasan paling terdedah banjir di Malaysia, khususnya ketika musim tengkujuh.
Dalam lawatan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan, menekankan kepentingan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri tersebut. Meskipun projek-projek ini memerlukan perbelanjaan kewangan besar, komitmen kerajaan Persekutuan tetap jelas dalam usaha meringankan penderitaan rakyat yang semakin terjejas akibat bencana banjir yang berulang.
Hakikatnya, bencana banjir bukan sahaja mendatangkan penderitaan kepada rakyat, malah turut menyebabkan kerugian ekonomi yang besar kepada negara.
Sebagai contoh, banjir besar yang melanda Malaysia pada dua tahun lalu mengakibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM800 juta, melibatkan kemusnahan harta awam dan persendirian, infrastruktur, perniagaan, pertanian dan sektor perkilangan.
Lebih parah, banjir antara 2021 dan 2022 yang digelar sebagai ‘sekali dalam seabad’ meragut sekurang-kurangnya 54 nyawa dan memaksa lebih 71,000 penduduk berpindah, dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah sehingga RM6.5 bilion. Statistik ini jelas menunjukkan strategi mitigasi banjir perlu dilihat sebagai satu keutamaan kebangsaan, bukan sekadar keperluan tempatan.
Landskap geografi Kelantan amat unik. Sungai Kelantan yang besar, kawasan tadahan air yang luas serta zon rendah yang padat dengan penduduk menuntut pendekatan pengurusan banjir yang menyeluruh dan bersepadu. Kawasan hulu seperti Gua Musang dan Kuala Krai sesuai dibina empangan takungan untuk mengawal aliran hujan semasa musim tengkujuh. Sungai Kelantan pula perlu didalamkan dan dilebarkan bagi menampung jumlah air yang tinggi secara selamat.
Di kawasan sering dilanda banjir seperti Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu, pembinaan benteng sungai, tambak serta tembok banjir adalah penting untuk melindungi penduduk, hartanah dan infrastruktur awam.
Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan kolam takungan banjir bandar berhampiran kawasan berpenduduk untuk menyerap air larian permukaan. Namun, semua ini tidak akan berkesan tanpa sistem amaran awal yang efisien berasaskan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), data raya dan pemetaan geospatial untuk pemindahan penduduk, tindak balas agensi selain pengurusan risiko yang cekap serta terselaras.
HALANGAN
Namun begitu, pelaksanaan cadangan-cadangan ini sering terhalang oleh kelemahan struktur undang-undang dan sistem pentadbiran negara. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal saliran dan perancangan bandar serta desa diletakkan di bawah Senarai Bersama, memerlukan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Namun dalam realiti, kerjasama ini sering terganggu oleh percanggahan dasar, kelewatan pentadbiran dan kekurangan penyelarasan antara institusi.
Tambahan pula, isu kuasa tanah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri menimbulkan masalah. Seksyen 108 Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) memperuntukkan Pihak Berkuasa Negeri tidak terikat dengan syor atau syarat daripada agensi teknikal. Malah, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga tidak mewajibkan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) mematuhi pandangan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMGS) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ini bermakna, keputusan pembangunan sering didorong oleh pertimbangan politik atau ekonomi, bukan berdasarkan integriti teknikal, profesionalisme, data atau risiko bencana.
Lebih membimbangkan, Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan tidak bertanggungjawab secara undang-undang terhadap kerosakan bangunan atau kerugian akibat kecuaian pentadbiran mereka, seperti termaktub dalam seksyen 95(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Kekebalan ini melemahkan prinsip akauntabiliti dan membenarkan kelonggaran dalam pelaksanaan dasar mitigasi banjir.
Satu lagi cabaran utama ialah ketiadaan sistem pengurusan data alam sekitar secara menyeluruh dan masa nyata. Malaysia masih belum berjaya mengintegrasikan sumber-sumber penting seperti Observatori Bandar Malaysia (MUO), Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI), Sistem Amaran Awal Banjir serta Sistem Maklumat Geospatial Terain dan Cerun Negara (NaTSIS). Tanpa sistem bersepadu ini, dasar dan keputusan teknikal akan terus dibuat secara fragmentasi dan tidak berkesan.
Malaysia boleh belajar daripada negara lain. Belanda, melalui program Room for the river (Ruang untuk sungai), memperkenalkan zon banjir terkawal untuk mengelakkan limpahan.
Jepun membina G-Cans, sistem terowong bawah tanah gergasi untuk mengalihkan air banjir dari Tokyo. Thailand pula mengurus Sungai Chao Phraya melalui takungan hulu dan sistem saliran pintar.
Di Bangladesh, program amaran awal komuniti dan latihan kecemasan membuahkan hasil, yang boleh diadaptasi di Malaysia dengan pindaan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Dari sudut pelaksanaan, projek utama seperti empangan dan benteng memerlukan tempoh dua hingga enam tahun. Namun kelewatan boleh berlaku sehingga tujuh tahun atau lebih tanpa reformasi undang-undang yang tuntas. Maka, pindaan perlu dibuat ke atas Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) untuk mewajibkan pematuhan terhadap input teknikal dan rancangan pembangunan.
Dalam masa sama, undang-undang baharu perlu digubal seperti:
– Akta Penyelarasan Bencana dan Tebatan Banjir Kebangsaan
– Akta Pengurusan Risiko Iklim dan Adaptasi Cuaca Ekstrem
– Akta Sumber Air Negara
– Akta Infrastruktur Mampan dan Ketahanan Banjir
Undang-undang baharu ini hendaklah dapat membentuk kerangka perundangan yang menyelaras dasar dan undang-undang antara kerajaan negeri dan Persekutuan secara berkesan dan profesional.
Akhir sekali, krisis banjir di Kelantan bukan lagi isu alam semula jadi semata-mata. Ia adalah manifestasi kegagalan dasar, kelemahan perundangan dan ketidakseimbangan pentadbiran.
Banjir akan terus berlaku, tetapi penderitaan rakyat boleh diminimumkan jika undang-undang diperkuat, pentadbiran diselaraskan dan keutamaan diberikan kepada sains, data dan kepakaran.
Kelantan boleh menjadi model tadbir urus mampan dalam pengurusan bencana, jika reformasi undang-undang dimulakan hari ini.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).











