Tarif AS: Peluang menuju kedaulatan ekonomi

Tarif AS: Peluang menuju kedaulatan ekonomi

MALAYSIA perlu mengambil peluang selaku Pengerusi ASEAN dengan mempertimbangkan langkah diversifikasi pasaran eksport ke negara-negara ASEAN, Asia Barat dan Afrika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ISLAM tidak boleh hidup dalam bayang-bayang kuasa lain yang mendominasi. Umat Islam perlu bebas dari penjajahan pemikiran dan kuasa politik kafir.”

Mutiara kata oleh Sayyid Qutb dalam Ma’alim fi al-Tariq ini ibarat mengkritik keadaan semasa ekonomi global yang saling berkait. Amat mendukacitakan melihat negara Islam seperti Malaysia kini terpaksa ‘bermain’ di dalam sistem jahiliah moden yang semakin menindas umat manusia.

Seharusnya, pemerintahan kerajaan Islam yang sebenar perlu memastikan rakyatnya tidak tunduk kepada sistem asing yang bertentangan dengan syariat.

Setiap warganegara bermaruah berharap agar Malaysia tidak lagi bergantung kepada sebarang bentuk bantuan dari sebuah negara yang menyokong sepenuhnya kekejaman Israel terhadap Gaza.

Ramai mahu Malaysia mengekalkan pendirian berkecuali dan tidak berpihak kepada blok geopolitik tertentu. Prinsip ini membolehkan Malaysia berdiri atas nilai kemanusiaan dan keadilan, tanpa tunduk kepada tekanan ekonomi atau politik.

Namun, perubahan dasar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia bukan sahaja mempengaruhi sektor perdagangan, tetapi juga menuntut penilaian semula terhadap strategi kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara.

Persoalannya, mampukah Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada AS dan akhirnya bebas daripada cengkaman kuasa besar dalam keadaan hutang negara semakin meningkat?

Berdasarkan data ekonomi global, jumlah hutang luar Malaysia sehingga akhir Disember 2024 kini mencecah AS$301 billion (RM1.4 trillion).

Data Biro Banci AS menunjukkan pada tahun itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion (RM111 bilion), menyumbang 2.1 peratus daripada jumlah defisit dagangan, meletakkan Malaysia di tangga ke-14 dalam senarai negara dengan lebihan dagangan tertinggi dengan AS.
Situasi ini menimbulkan risiko kepada kedaulatan ekonomi Malaysia kerana tekanan ekonomi boleh digunakan sebagai alat untuk mempengaruhi dasar domestik.​

Sudah jatuh ditimpa tangga, ketika orang ramai sedang sibuk menyambut kedatangan bulan Syawal, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif minimum 10 peratus ke atas semua import, dengan kadar lebih tinggi untuk negara tertentu, termasuk Malaysia yang dikenakan tarif sebanyak 24 peratus. Kadar baharu ini merupakan satu peningkatan ketara daripada purata kadar tarif terdahulu sebanyak 2.2 peratus.

Sektor eksport utama Malaysia seperti elektrik dan elektronik (E&E), getah serta perabot, bakal terjejas teruk akibat peningkatan kos dan penurunan daya saing di pasaran AS.

Sektor elektronik Malaysia, yang merangkumi eksport semikonduktor dan produk elektronik lain, dijangka terjejas teruk akibat tarif ini. Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) turut menyuarakan kebimbangan bahawa tarif ini akan memberi tekanan kepada produktiviti nasional dan menjejaskan daya saing produk Malaysia di peringkat antarabangsa.​

Jelas, ketergantungan yang tinggi kepada pasaran AS menjadikan Malaysia rentan terhadap perubahan dasar perdagangan unilateral.

Kebergantungan yang tinggi kepada pasaran AS mendedahkan Malaysia kepada risiko ekonomi dan politik.

Sejarah menunjukkan kuasa ekonomi sering digunakan sebagai alat tekanan politik, yang boleh mengancam kedaulatan negara.

Sebagai contoh, tindakan AS mengenakan tarif tinggi terhadap negara-negara Asia Tenggara telah mendorong negara-negara tersebut untuk mencari alternatif lain, termasuk memperkukuh hubungan dengan China.

Dari sudut positif, situasi ini menekankan keperluan bagi Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal dan mempelbagaikan rakan dagang.​

Untuk mengurangi dampak negatif tarif dan memperkukuh kedaulatan ekonomi, Malaysia perlu mengambil peluang selaku Pengerusi ASEAN kali ini dengan mempertimbangkan langkah diversifikasi pasaran eksport iaitu memperluaskan pasaran eksport ke negara-negara ASEAN, Asia Barat dan Afrika. Ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS.

Kerjasama melalui perjanjian perdagangan bebas seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh dimanfaatkan untuk membuka akses pasaran baharu.

Laporan McKinsey menekankan Asia Tenggara semakin menjadi hab pembuatan global, menawarkan peluang kepada syarikat logistik dan pengilang untuk memanfaatkan pertumbuhan ini.

Tambahan, kerajaan perlu memikirkan wadah bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan.

Melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kualiti dan inovasi produk dapat membantu Malaysia bersaing di pasaran global tanpa bergantung kepada kelebihan kos semata-mata. Ini termasuk peralihan kepada industri berteknologi tinggi dan pengeluaran produk bernilai tambah tinggi.​

Selain itu, dasar kerajaan dan syarikat swasta perlu menggalakkan penggunaan bahan mentah tempatan selain memperkukuh rantaian bekalan domestik agar Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan meningkatkan daya tahan ekonomi terhadap gangguan luaran.​

TINDAKAN TEGAS
Hakikatnya, perubahan dasar ini memberi seribu satu hikmah buat negara tercinta kita.

Kerajaan perlu menjadi lebih agresif dengan menghukum AS agar mana-mana kontrak kerajaan tidak diberikan kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan entiti pro-Israel.

Ini akan menjadi tekanan ekonomi secara sah ke atas entiti luar yang terlibat.

Untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa besar seperti AS, Malaysia memerlukan keberanian kepimpinan politik, perpaduan dalaman yang kukuh dan sokongan rakyat terhadap agenda kedaulatan negara.

Kedaulatan bukan hanya tentang ekonomi atau ketenteraan, tetapi soal keupayaan sesebuah negara untuk membuat keputusan moral berdasarkan prinsip, bukan tekanan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN