PETALING JAYA: Sri Pahang tidak rela ‘dibelasah’ menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Fadhli Shas mengakui pasukannya akan melakukan apa sahaja untuk memberi tentangan sengit dan cuba mencipta kejutan meskipun sedar kekuatan dan kesempurnaan yang dimiliki JDT.
Kapten Sri Pahang itu, antara tonggak JDT ketika final 2014 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas menerusi penentuan penalti dan kini beliau bakal melawan pasukan kendalian Hector Bidoglio.
Katanya, mungkin tidak semua pemain merasai pengalaman sepertinya yang bermain dengan kedua-dua pasukan dalam aksi final berbeza.
“Masa 2014 saya bermain dengan JDT dan kami tewas ketika itu. Kini saya akan bermain dengan Pahang menentang JDT pula. Mungkin tak semua pemain ada pengalaman seperti saya.
“Kalau dilihat atas kertas sememangnya kami pasukan underdog dan JDT adalah pilihan. JDT boleh saya katakan pasukan yang serba lengkap dan semua orang tahu tentang itu.
“Mereka memiliki pemain berkualiti di setiap posisi. Jika dibandingkan dengan Pahang mungkin ramai sudah dapat jangkakan keputusannya tetapi sebagai pemain, kami akan bekerja keras dan memberi segalanya dalam perlawanan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fadhli antara pemain yang menyertai JDT ketika zaman kebangkitan skuad Harimau Selatan itu, diketuai oleh Tunku Mahkota Ismail dan kini kelab itu sudah jauh meninggalkan kelab-kelab Liga Malaysia.
Meskipun sedar dengan kekuatan dimiliki JDT, bekas pertahanan kebangsaan itu masih mendambakan sokongan daripada penyokong-penyokong Tok Gajah untuk berada di belakang mereka memberi sokongan.
Jelasnya, fokus pemain ketika ini hanyalah di atas padang selepas isu-isu luar padang telah diselesaikan.
“Tiada isu lain, fokus kami hanyalah di atas padang. Tentu sekali kami amat harap sokongan daripada penyokong-penyokong Pahang terutama berada di pentas final dan berdepan lawan seperti JDT.
“Kami hanya mampu janji dekat penyokong akan beri sehabis baik dalam final itu. Apa sahaja keputusan nanti, kami harap akan keluar padang dengan rasa puas hati, begitu jua untuk penyokong kami,” ujarnya.
Untuk rekod, dalam dua aksi Liga Super menyaksikan skuad Tok Gajah tewas 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Jun 2024 dan kalah 1-3 di venue sama. – UJTUSAN










