SETIAP kali kita melangkah masuk ke restoran mamak, suasana penuh warna-warni terus menyapa.
Selepas agak lengang pada waktu siang sepanjang Ramadan, kemeriahan di restoran milik India Muslim sudah kembali terasa apabila masuk hari raya ketiga.
Bunyi sudu berlaga dengan pinggan, suara pelanggan berbual dalam pelbagai bahasa serta aroma kari yang menggoda selera mencipta suasana yang hanya boleh ditemui di Malaysia.
Sama ada disedari atau tidak, restoran mamak bukan sekadar tempat menjamu selera. Ia merupakan ruang sosial yang merapatkan jurang antara kaum, melangkaui batas bahasa, budaya dan kepercayaan.
Gelaran ‘mamak’ berasal daripada perkataan bahasa Tamil, ‘mama’, yang merujuk kepada saudara lelaki atau pak cik di sebelah ibu. Orang Minangkabau juga menggunakan gelaran itu bagi bapa saudara sebelah ibu.
Jika merujuk Kamus Dewan, istilah ‘mamak’ merujuk juga panggilan kepada lelaki India yang memeluk agama Islam, khususnya yang terlibat dalam perniagaan makanan. Malah, menurut kamus itu, lelaki Melayu yang ada darah keturunan India juga digelar ‘mamak’.
Dalam dialek Melayu di Kedah dan Pulau Pinang, golongan mamak digelar ‘keling’ dan ‘keling pelikat’. Huraian lanjut ada dalam buku kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022).
Berbalik kepada restoran mamak, keunikannya terletak pada kepelbagaian makanan yang disajikan. Dari roti canai rangup hingga nasi kandar yang penuh lauk-pauk berempah, restoran ini menawarkan hidangan yang memenuhi cita rasa rakyat pelbagai kaum.
Teh tarik, minuman ikonik yang sering dikaitkan dengan restoran mamak, pasti menjadi simbol persaudaraan rakyat Malaysia. Tidak kira kaum, etnik, agama dan anutan, semua orang tidak menghadapi masalah untuk menikmati makanan dan minuman di restoran mamak.
Satu lagi keistimewaan restoran mamak adalah waktu operasi yang fleksibel. Kebanyakan restoran mamak dibuka 24 jam sehari, menjadikannya tempat tumpuan bagi mereka yang mencari makanan pada lewat malam atau ruang untuk berbincang tanpa batasan masa.
Tidak kira golongan pekerja syif malam, pelajar universiti yang mengulang kaji atau sekumpulan rakan yang sekadar ingin berbual santai, restoran mamak sentiasa menjadi pilihan utama.
Selain itu, keunikan restoran mamak turut terletak pada suasananya yang santai dan bersifat inklusif. Di sini, tiada protokol ketat seperti di restoran atau kafe mewah.
Sesiapa sahaja boleh duduk di mana-mana meja kosong dan menikmati makanan tanpa sebarang halangan. Meja-meja pula boleh digabung jika duduk dalam kumpulan besar.
Rakan-rakan dan ahli keluarga boleh berkongsi cerita dan gelak ketawa tanpa perlu risau memikirkan jika mengganggu orang yang duduk di meja sebelah.
Sudah menjadi semacam peraturan yang dipersetujui semua bahawa pengunjung restoran mamak bebas bergembira.
Pekerja restoran yang fasih dalam pelbagai bahasa menambah lagi keistimewaan tempat ini. Rata-rata pelayan berasal dari negara India atau Bangladesh tetapi sudah menguasai bahasa tempatan.
Maka, kita boleh memesan makanan dan minuman dalam bahasa kebangsan, Tamil, Inggeris, Cina atau bahasa lain yang mereka selesa gunakan dan fahami. Kadang-kadang, kosa kata pelayan restoran mamak lebih bagus daripada orang Malaysia.
TEMPAT BERKUMPUL
Di Malaysia, perpaduan dalam kalangan rakyat bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang boleh dilihat, dirasai dan dialami. Restoran mamak menjadi salah satu manifestasi perpaduan ini. Di sinilah rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang duduk bersama di meja yang sama sambil berkongsi makanan dan cerita.
Dalam dunia yang semakin digital, restoran mamak masih berfungsi sebagai pusat interaksi sosial yang penting. Ia menjadi tempat pertemuan tanpa mengira status sosial.
Ahli politik, pelajar, pekerja kilang, pegawai kerajaan dan pemandu teksi boleh duduk bersama menikmati hidangan yang sama. Di restoran mamak, perbezaan latar belakang tidak menjadi halangan. Pekerja restoran mamak melayan setiap pelanggan sama rata.
Lebih menarik, restoran mamak sering menjadi lokasi bagi perbincangan politik, ekonomi dan budaya.
Walaupun mungkin wujud perbezaan pendapat, semua orang dapat menikmati suasana yang bebas daripada ketegangan kaum atau agama apabila berada di restoran mamak. Inilah suatu magis yang sukar ditandingi restoran lain.
Saya juga sering memilih restoran mamak untuk bertemu rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Kami bebas duduk beberapa jam sambil menikmati makan-minum dan berbual tanpa gangguan.
Restoran milik India-Muslim bukan sekadar tempat makan, tetapi juga ruang sosial yang menyatukan rakyat pelbagai kaum. Keunikan restoran mamak terletak pada menu yang pelbagai, harga berpatutan dan waktu operasi yang fleksibel, menjadikannya pilihan utama bagi ramai pelanggan.
Selain itu, restoran mamak menjadi simbol keharmonian kerana di sinilah rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang berkumpul, berinteraksi dan berkongsi ruang tanpa mengira kaum atau agama.
Suasana di restoran mamak mencerminkan semangat perpaduan, di mana masyarakat berbual santai sambil menikmati hidangan seperti roti canai, nasi kandar dan teh tarik.
Dari sudut ekonomi, restoran mamak turut menyumbang kepada pembangunan negara dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Restoran ini juga sering menjadi tempat perbincangan politik, budaya dan isu semasa, mencerminkan kepelbagaian pemikiran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada pandangan dan pemerhatian saya, restoran mamak lebih daripada sekadar tempat makan. Ia adalah ruang yang menyatukan rakyat Malaysia dalam satu pengalaman yang unik dan inklusif.
Daripada kepelbagaian makanan, suasana mesra, hinggalah kepada interaksi sosial yang bebas, restoran mamak membuktikan perpaduan bukan sekadar impian, tetapi realiti yang dapat dilihat setiap hari dalam kalangan rakyat.
Di sebuah negara yang kaya dengan budaya dan etnik, restoran mamak menjadi contoh terbaik bagaimana sesuatu yang sederhana, iaitu makanan, boleh menjadi ejen perpaduan.
Selagi ada restoran mamak, selagi itu semangat perpaduan bangsa Malaysia akan terus hidup.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










