Pendidikan itu lambang cinta, sayang yang ikhlas

Pendidikan itu lambang cinta, sayang yang ikhlas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CINTA atau sayang boleh ada pada ibu bapa, anak-anak, sahabat, negara, alam sekitar, kedamaian dan sebagainya. Peri pentingnya cinta atau sayang itu adalah usaha yang bersungguh-sungguh dalam memastikan yang disayangi itu beroleh yang terbaik. 

Sehubungan dengan hal ini, dalam konteks pendidikan seharusnya ada nilai cinta atau sayang kerana ia akan menyuburkan rasa itu antara guru dengan profesion keguruan, guru dengan Kementerian Pendidikan (KPM), guru dengan murid, murid dengan guru, murid dengan ibu bapa, guru dan murid dengan negara dan sebagainya. 

Di sebalik cinta atau sayang, nilai itu memperlihatkan wujud hubungan dan kesan yang bersifat timbal balik. Orang yang menyayangi akan disayangi. Kedua-dua pihak pula akan saling memberikan yang terbaik. Inilah hakikat cinta atau sayang seperti disebutkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang bermaksud : “Para penyayang akan disayangi oleh ar-Rahman (Allah SWT). Sayangilah yang ada di muka bumi, nescaya yang ada di langit akan menyayangi kamu”. (HR: at-Tirmidzi daripada Abdullah bin ‘Amr)

 

CINTA GURU PADA PROFESION KEGURUAN

Tidak semua mereka yang berminat menjadi guru berjaya menjawat jawatan itu. Ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai jurutera, peguam, polis dan sebagainya tetapi mereka sanggup meletak jawatan semata-mata minat dan cinta pada kerja-kerja mendidik. 

Pernah ada juga yang begitu cinta akan profesion keguruan dan sayang akan kanak-kanak sehingga sanggup beberapa kali hadir sesi temuduga untuk menjadi guru. Malangnya, tidak terpilih kerana mereka ditakdirkan untuk berada dalam profesion yang lain. 

Senario yang digambarkan ini menunjukkan mereka yang terpilih sebagai guru adalah orang yang memiliki keistimewaan untuk menggalas amanah dan tanggungjawab mendidik serta membimbing.

Oleh itu, seorang guru perlu memberikan cinta atau sayang pada profesion keguruan ini dengan sepenuh hati menerusi penampilan diri dengan adab dan akhlak yang mulia, cara bekerja dengan penuh integriti, meneroka ilmu dan kemahiran terkini, gaya berfikir atau bercakap serta bertindak dengan berhemah dan kebijaksanaan. 

 

CINTA KPM PADA ANAK BANGSA

Cinta atau sayang kerajaan terhadap guru dan profesion keguruan diletakkan di bawah tanggungjawab KPM yang teraju utamanya adalah Fadhlina Sidek dan dibantu oleh barisan pengurusan tinggi.

Pelbagai inisiatif direncana dan dilaksanakan untuk menggerakkan pendidikan. Semua inisiatif itu menggambar ihsan dengan cinta atau sayang .

Keciciran pembelajaran dan keciciran sekolah telah mendapat perhatian istimewa Fadhlina dan pengurusan tinggi. Menerusi cinta atau sayang akan anak bangsa, khususnya dalam kalangan keluarga B40 atau anak-anak dari kawasan pendalaman, Program Model Sekolah Khas Komprehensif 9 (K9)  diperluaskan bagi 10 buah sekolah pada 2023. 

Perluasan itu memberi peluang kepada anak-anak di kawasan terbabit meneruskan pendidikan selama sembilan tahun, iaitu dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 3 di sekolah yang sama tanpa terganggu oleh cabaran kos tambang pengangkutan atau kemiskinan keluarga.

KPM juga melaksanakan konsep sekolah K9 bagi memastikan anak-anak dalam keluarga B40 dan anak-anak dari kawasan pedalaman dapat meneruskan akses pendidikan sehingga tingkatan 5 dengan selesa. Oleh itu, KPM melaksanakan sekolah K11 di dua buah sekolah pada sesi persekolahan 2023/2024. KPM juga sedang merancang bagi memperluas sekolah K9 dan K11 untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan menghindar daripada perangkap keciciran. 

KPM juga ada tanggungjawab membangunkan negara melalui bidang pendidikan. KPM melihat ilmu dalam bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah mustahak dibangunkan pada anak bangsa yang mengikuti pendidikan di sekolah. Kepentingan STEM perlu disuburkan kepada anak bangsa untuk mengupayakan mereka membina hidup yang mampan serta sejahtera di masa hadapan yang dipengaruhi oleh sains dan teknologi. 

Tahun lalu menyaksikan sebanyak RM90 juta diperuntukan bagi membaik pulih 506 buah makmal sains dan 518 buah makmal komputer, di samping 50 peratus sekolah menerima bahan baharu bagi mata pelajaran amali sains.

Begitu juga dalam meneraju perluasan prasekolah. Inisiatif perluasan prasekolah ini bagi memastikan ibu bapa golongan B40 berhak mendapat akses pendidikan prasekolah yang berkualiti untuk anak mereka. 

KPM berjaya memperluas prasekolah sebanyak 134 buah kelas baharu berbanding sasarannya sebanyak 129 buah kelas pada  2024. 

KPM juga membuka pengoperasian prasekolah bukan sahaja di sekolah rendah tetapi di sekolah menengah, kolej vokasional (KV) dan Institut Pendidikan Guru (IPGM). KPM menyasarkan sebanyak 150 buah prasekolah untuk dibuka pada tahun ini.

KPM juga dalam usaha meminda Akta 550, khususnya mewujudkan undang-undang bagi pendidikan wajib sehingga peringkat menengah. Usaha ini dibuat atas cinta atau sayang untuk melihat semua anak bangsa mendapat pendidikan yang sempurna. 

Usaha ke arah 11 tahun pendidikan wajib juga untuk membolehkan KPM membina dan membangunkan nilai manusiawi dan jati diri anak bangsa menerusi pendidikan manusiawi dan karamah insaniah, iaitu adab, akhlak serta integriti. Usaha ini berupaya membina generasi yang mengamalkan nilai-nilai mulia kehidupan dan hidup dengan damai serta menghormati kepelbagaian yang ada.  

 

CINTA GURU PADA MURID

Murid pada guru adalah orang lemah dalam aspek ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai, psikologi dan emosi. Peranan guru amat penting sebagai orang yang mempunyai kelayakan akademik dan ikhtisas profesional. Kerajaan dan masyarakat yakin serta menaruh harapan tinggi kepada golongan ini. Guru adalah orang yang mampu memberikan dan menyuburkan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai, psikologi dan emosi kepada murid. 

Berkat usaha guru, murid berupaya dan kuat sehingga  mampu membela diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. 

Semua ini dilakukan oleh guru menerusi pendekatan, strategi, kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran yang dirancang rapi beserta maklumat serta data. 

Metodologi yang digunakan beserta kesungguhan menggerakkan guru mendidik dan membimbing murid bertatih-tatih mencarik lukisan dengan warna-warni di atas kanvas potret kehidupan masa hadapan. Inilah cinta atau sayang guru akan murid dalam pendidikan ini.

Menerusi cinta atau sayang tersebut, guru memperoleh motivasi dan kekuatan dalam mencetuskan usaha tanpa jemu untuk terus mendidik serta membimbing murid untuk gagah mendepani cabaran hidup. 

Hal ini telah disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad yang bermaksud, “Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberikan rezeki dan dibantu oleh sebab orang-orang lemah dalam kalangan kamu”. (HR: Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim).

Kesungguhan guru membangunkan dan mengembangkan potensi murid merupakan manfaat yang besar untuk kehidupan murid pada masa hadapan. Daya usaha dan kesungguhan itu merupakan formula hidup bagi guru untuk meraih kedudukan sebagai ‘sebaik-baik manusia’ atau ‘orang yang terbaik’ dalam kalangan orang lain.

 Hal ini telah dijelaskan oleh Nabi SAW menerusi sabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain”. (HR: Ibn Hibban)

Fadhlina pernah menyebutkan kemuncak pendidikan ialah cinta. Benar sekali kerana menerusi cinta atau sayang warga pendidikan mampu menggerakkan segala inisiatif demi harapan anak-anak dan negara. Justeru, cinta atau sayang pendidikan ini adalah pemangkin dalam membina harapan Malaysia Madani pada masa hadapan.-UTUSAN

 

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN