PETALING JAYA: Penarikan Perak FC daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan jelas menunjukkan kelab bola sepak (FC) tidak mampu bergerak secara bersendirian.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, setiap pasukan yang sebelum ini diuruskan sepenuhnya oleh persatuan bola sepak negeri (FA) masing-masing seharusnya mengekalkan pegangan pemilikan kelab bersama FC.
Pekan mengambil contoh seperti Selangor FC yang turut melibatkan syarikat kerajaan negeri sebagai pemegang taruh pasukan bagi memastikan sumber kewangan pasukan mencukupi untuk terus bersaing di kancah bola sepak tempatan.
“Melihat kepada situasi Perak FC, saya fikir tidak semestinya sesebuah FC perlu bergerak secara bersendirian kerana mereka boleh mendapatkan pemilikan bersama dengan FA, kerajaan negeri atau syarikat kerajaan negeri.
“Contoh FC ada pemilikan 49 peratus dan selebihnya dibahagikan dengan kerajaan negeri dan FA. Apabila ada pemilikan bersama, FC tidak perlu terlalu risau mengenai soal kewangan.
“Ini kerana, penajaan mungkin lebih mudah diperolehi menerusi kaedah ini kerana sesetengah FA dipimpin oleh Exco kerajaan negeri. Kena ingat Liga M, FC tak boleh jana keuntungan daripada hasil jualan tiket sebaliknya ia lebih kepada belanja hangus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sebelum ini mengumumkan Perak FC menarik diri daripada Liga Super selepas berdepan dengan kesulitan kewangan.
Mengulas lanjut, Pekan berkata jika gaji menjadi masalah utama, adalah wajar untuk sesebuah kelab berbelanja mengikut kemampuan sendiri agar kantung kewangan pasukan terus terpelihara.
“Biar gaji RM5,000 sebulan tetapi setiap bulan boleh bayar daripada beri gaji mewah namun pada akhirnya tidak mampu untuk bayar,” katanya. – UTUSAN










