Pasaran modal Islam ‘rapat’ jurang kewangan PKS

Pasaran modal Islam ‘rapat’ jurang kewangan PKS

tarif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUSAHAAN, Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tunjang ekonomi Malaysia. Ia mewakili 96.9 peratus daripada keseluruhan jumlah perniagaan dengan lebih 1.1 juta firma.

Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kumpulan perusahaan ini secara kolektif menyumbang lebih daripada satu pertiga (38.4 peratus atau RM580.4 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2022.

Sumbangan KDNK daripada PKS meningkat sebanyak 11.6 peratus, melebihi pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara.

PKS juga merangkumi 10.5 peratus daripada jumlah eksport, bersamaan RM144.5 bilion. Lebih penting lagi, PKS merupakan pencipta peluang pekerjaan utama, dengan menggaji sekitar 7.9 juta orang, iaitu hampir separuh (48.5 peratus) daripada tenaga kerja Malaysia.
Namun begitu, sumbangan ekonomi PKS ini wujud bersama impak kepada alam sekitar.

Kebergantungan tinggi Malaysia kepada bahan api fosil, yang merangkumi 92 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama negara. Bermakna PKS, seperti rakan korporat mereka yang lebih besar, tidak dapat lari daripada meninggalkan jejak karbon ketara.

Sepanjang lima dekad lalu, pelepasan karbon per kapita negara meningkat lima kali ganda, daripada 1.6 tan pada 1973 kepada 8.2 tan pada 2023.

PERALIHAN SIFAR BERSIH PERLU LEBIH INKLUSIF
Sebagai tindak balas, Malaysia bertekad untuk mengurangkan intensiti karbon berbanding KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030 (berbanding tahap 2005) sebagai usaha ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Namun demikian, pertumbuhan penduduk dan urbanisasi pesat dijangka mendorong lonjakan penggunaan tenaga, yang diunjurkan meningkat sekitar 2 peratus setiap tahun sehingga 2050.

Setakat ini, usaha pengurangan karbon di Malaysia banyak tertumpu kepada syarikat-syarikat besar. Namun, untuk merealisasikan cita-cita sifar bersih, pendekatan yang lebih inklusif amat diperlukan.

Keupayaan PKS mengamalkan amalan mesra iklim adalah penting bagi memastikan peralihan rendah karbon merangkumi semua lapisan ekonomi. Tanpa penyertaan PKS dalam usaha ini, Malaysia berisiko gagal memenuhi matlamat iklim jangka panjangnya.

Berbeza dengan firma besar yang mempunyai profil kredit kukuh serta peruntukan belanjawan khusus untuk inisiatif kelestarian, PKS terus berdepan halangan besar dalam mendapatkan modal bagi melaksanakan teknologi tenaga bersih dan cekap tenaga.

Kebergantungan tinggi mereka kepada pembiayaan bank tradisional tidak banyak membantu, memandangkan dana tersedia selalunya tidak mencukupi untuk memenuhi skala peralihan yang diperlukan.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila ramai pemain PKS terpaksa melalui proses permohonan yang rumit serta berdepan syarat kredit yang sangat ketat. Suatu realiti yang sukar diatasi oleh firma kecil yang lazimnya tidak memiliki cagaran, rekod perakaunan kukuh dan metrik prestasi kelestarian seperti yang dituntut oleh institusi kewangan.

Menyedari jurang ini, Bank Negara Malaysia melancarkan Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) berjumlah RM2 bilion pada 2022, dengan model pembiayaan padanan di mana institusi kewangan menyumbang separuh daripada kos projek.

Peruntukan ini, walaupun wajar dipuji, hanyalah sebahagian kecil daripada anggaran RM1.3 trilion yang diperlukan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon menjelang 2050.

POTENSI PASARAN MODAL ISLAM
Pasaran modal, sementara itu, dilihat berpotensi untuk menjadi saluran alternatif buat PKS untuk mengakses pelbagai sumber pembiayaan bagi tujuan mitigasi dan adaptasi iklim.

Namun, di banyak negara membangun termasuk Malaysia, pembiayaan PKS melalui pasaran modal masih berada di peringkat permulaan, meskipun menunjukkan perkembangan yang semakin memberangsangkan.

Pada 2023, jumlah dana yang dijana melalui pasaran modal hanya sekitar RM6.3 bilion, yang merangkumi kira-kira 2 peratus daripada keseluruhan pembiayaan untuk PKS di negara ini.

Berteraskan prinsip pelaburan beretika dan selari dengan matlamat syariah dalam pemeliharaan alam sekitar, pasaran modal Islam membuka ruang berprospek cerah sebagai platform untuk membiayai tindakan iklim yang diterajui PKS.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, inovasi produk secara mampan amat penting agar penyelesaian pembiayaan pasaran modal Islam sentiasa responsif dan adaptif terhadap keperluan kelestarian serta daya tahan iklim PKS yang kian berkembang.

Pihak pembuat dasar boleh mengambil dua strategi utama iaitu menggalakkan penawaran penyelesaian pembiayaan berasaskan ekuiti sebagai pelengkap kepada instrumen berasaskan hutang di segenap peringkat pertumbuhan PKS.

Tidak seperti hutang yang meletakkan seluruh beban kewangan ke atas peminjam berskala kecil, pembiayaan ekuiti menawarkan modal jangka panjang dengan terma yang lebih fleksibel.

Instrumen seperti pembiayaan ekuiti ramai, modal teroka dan ekuiti swasta patuh syariah sangat sesuai untuk projek berkaitan iklim, sememangnya berisiko tinggi serta memerlukan pelaburan permulaan yang besar dengan tempoh pulangan lebih panjang.

Di samping itu, pelabur ekuiti lazimnya membawa kepakaran teknikal, pengawasan strategik dan rangkaian industri yang dapat membantu PKS menyemai, memupuk serta mengembangkan keupayaan rendah karbon mereka.

Strategi kedua melibatkan penggunaan pendanaan teradun untuk menggalakkan penyertaan modal swasta dalam pelaburan iklim.

Sebagai contoh, dengan menggabungkan instrumen filantropi Islam, seperti zakat, wakaf dan sedekah, bersama sumber pembiayaan awam dan swasta, pembiayaan teradun dapat mengurangkan risiko pelaburan dalam sektor hijau yang kurang mendapat sambutan.

Dalam struktur ini, modal filantropi Islam boleh memainkan peranan pemangkin dengan menawarkan jaminan kerugian awal, menerima pulangan lebih rendah atau menyediakan geran bagi kemudahan bantuan teknikal.

Mekanisme sebegini membantu menambah baik profil risiko-pulangan projek iklim, terutamanya yang dilaksanakan oleh PKS. Ini sekali gus menggalakkan penyertaan lebih besar pihak swasta dan mengurangkan kebergantungan kepada dana awam.

Kesimpulannya, pasaran modal Islam berpotensi merapatkan jurang kewangan iklim melalui inovasi instrumen patuh syariah dan penyertaan modal swasta.

Strategi ini bukan sahaja membolehkan pelabur menyelarikan pulangan kewangan dengan impak alam sekitar yang positif, malah memperkasa PKS untuk menyumbang secara bermakna kepada agenda pertumbuhan hijau negara.-UTUSAN

DR. Nazrul Hazizi Noordin ialah Penolong Profesor di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN