Masalah dalam bola sepak bukan terpencil - Hannah  

Masalah dalam bola sepak bukan terpencil – Hannah   

HANNAH Yeoh beramah mesra dengan tetamu di Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran memperkemas dan menambah baik ekosistem bola sepak negara secara menyeluruh, termasuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain melibatkan beberapa kelab yang masih berlarutan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, masalah dalam bola sepak tanah air tidak boleh ditangani secara terpencil atau mengikut kes demi kes, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka perancangan holistik dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

“Untuk isu bola sepak ini, kita tak boleh lihat berdasarkan satu-satu kes sahaja kerana ia adalah satu perancangan holistik dan ekosistem yang lengkap.

“Kita tak boleh hanya bergantung pada satu negeri atau satu kelab. Kita perlukan kerjasama FAM sebab soal melibatkan kepakaran sepatutnya dikendalikan oleh persatuan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan usaha memperkukuh ekosistem bola sepak memerlukan kerjasama menyeluruh daripada FAM, persatuan bola sepak negeri serta kelab-kelab tempatan.

“Kita akan berbincang dengan FAM untuk tengok bagaimana kita nak membuat penambahbaikan kepada ekosistem sedia ada, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat kelab dan negeri,” katanya.

Tambah beliau, KBS telah menerima laporan penilaian daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung keberkesanan perbelanjaan dan program pembangunan bola sepak negara.

“Saya dah minta AFC buat penilaian dan laporan itu telah diterima. Jadi, kita akan bincang dengan FAM untuk lihat bagaimana mereka boleh bantu Majlis Sukan Negara (MSN) dalam pelaksanaan program pembangunan,” ujarnya.

Menurut Hannah, KBS kini memikul tanggungjawab yang semakin meluas termasuk membabitkan pembangunan Sukan Olimpik, dan FAM disaran agar tampil memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan bola sepak.

“Kita tak boleh buat kerja untuk FAM. Mereka kena memulakan langkah dan main peranan mereka. Kita sedang lihat apa peranan yang sesuai untuk diserahkan kepada FAM supaya kita dapat lengkapkan ekosistem ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN