Malaysia perlu cari peluang dari konflik perdagangan AS-China

Malaysia perlu cari peluang dari konflik perdagangan AS-China

PERANG dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjejaskan pasaran ekonomi dunia, termasuk Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDEBATAN mengenai situasi ekonomi dunia menjadi hangat apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil langkah menaikkan tarif timbal balik ke atas import dari China kepada 125 peratus.

Banyak negara lain turut dikenakan kenaikan tarif tersebut. Malaysia dikenakan sebanyak 24 peratus dan negara ASEAN lain juga turut dikenakan tarif baharu dengan kadar-kadar yang berlainan.

Pada 9 April lalu, Trump menunda penerapan tarif selama 90 hari kepada hampir 90 negara. Sebenarnya, langkah itu hanya mementingkan ekonomi AS semata-mata untuk melindungi produk dan pasaran tempatannya, sekali gus mahu mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar.

Di sisi lain, dasar ekonomi ini boleh dianggap sebagai melanggar sistem perdagangan sejagat dan peraturan yang digariskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Langkah yang dilaksana itu merupakan perang perdagangan ke atas China apabila masing-masing ego dalam bertindak balas sesama mereka.

Oleh sebab kedua-dua gergasi ekonomi itu mengawal pasaran ekonomi global, maka kesannya terhadap negara-negara lain sukar untuk dielakkan, termasuk Malaysia.

Perang perdagangan AS-China bermula secara serius pada pertengahan 2018 dan berlanjutan sehingga kini.

Pada pertengahan 2019, ketika rundingan terakhir AS-China untuk menyelamatkan perjanjian perdagangan antara dua negara, AS bertindak menaikkan tarif ke atas China dengan cara menaikkan levi terhadap barangan dari negara tembok besar itu yang bernilai hampir AS$200 bilion (RM882 bilion).
Walaupun pelbagai siri rundingan diadakan, namun masih sukar mencapai kata sepakat. Dakwaan AS yang menuduh China melanggar perjanjian perdagangan dengan melanggar hak harta intelektual menyukarkan mencapai kata sepakat.

AS juga mahukan campur tangan WTO bagi menyekat kemaraan perdagangan China. Sebagai negara yang berada dalam kedudukan kuat sama ada dalam bidang ekonomi mahupun ketenteraan, China menyangkal dakwaan tersebut dan menganggap ia tuduhan tidak berasas AS terhadapnya.

Justeru, China menganggap sebarang tindakan WTO ke atasnya tidak boleh diterima. Trump menghukum China dengan menaikkan tarif import barangan China ke AS. China pula bertindak balas dengan turut mengenakan tarif kepada barangan AS. AS turut menaikkan tarif untuk eksport ke atas Eropah, Kanada, Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun China bertindak balas tetapi masih bersetuju untuk meneruskan penyelesaian di meja rundingan perdagangan. Namun, ia masih tiada jalan penyelesaian yang muktamad. Malah, janji kedua pemimpin kuasa ekonomi dunia itu dalam Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka, Jepun yang mana Presiden China, Xi Jinping dan Trump, sama-sama bersetuju menggalakkan hubungan AS-China melalui penyelarasan, kerjasama dan kestabilan juga belum menjadi realiti.

Ini ternyata apabila langkah terbaharu Trump ke atas China pada 2 April lalu menjejaskan harapan dunia menikmati pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih positif dan adil. Trump tidak peduli walaupun langkahnya itu akan menyebabkan harga pasaran tempatannya meningkat secara mendadak, sekali gus akan meningkatkan lagi kos hidup penduduk.

Sebelum ini, tindakan AS pada 2019 menyebabkan kos sara hidup rakyatnya bertambah sebanyak AS$1,000 (RM4,407) bagi tempoh setahun. Sudah tentu langkah terbahrunya akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyatnya, malah kebanyakan negara di dunia.

Selain itu, syarikat AS yang beroperasi di China juga terpaksa meningkatkan kos operasi dan barang pengeluarannya. Syarikat AS gemar memilih China kerana kos operasi pengeluaran dan perniagaan di China lebih murah dan pukal. Langkah Trump itu turut memberi kesan terhadap kos operasinya.
Namun, bagi Trump kenaikan tarif dari barangan import ini akan dapat meningkatkan pendapatan AS yang dianggapnya sebagai suntikan untuk membangunkan ekonomi negaranya.

Saya mempunyai pandangan dasar ekonomi Trump ini juga dipengaruhi penglibatan secara langsung AS dalam konflik Israel-Palestin, yangi mana AS mengeluarkan belanja cukup besar untuk operasi ketenteraan Israel di Palestin.

Trump juga mempunyai rancangan untuk mengambil alih Gaza. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang cukup besar. Pada pemikiran saya, antara cara yang dibuat Trump ialah dengan melaksanakan tarif timbal balik yang tinggi ke atas negara-negara yang mengeksport barang ke AS, terutamanya China.

Jika sebelum ini dalam menaikkan tarif barang import, AS menggunakan slogan ‘Amerika Diutamakan’, tetapi kali ini Trump menganggapnya sebagai ‘Hari Pembebasan’ .

Sekiranya perang perdagangan ini berpanjangan maka kesannya akan terus meningkat dan dirasai oleh banyak negara di dunia. Banyak negara yang berurus dagang dengan kedua-dua kuasa ekonomi itu akan terkesan kepada kerugian. Contohnya, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia. Negara -negara ini mengamalkan rantaian bekalan dan keterbukaan perdagangan akan terjejas kesan daripada polisi gila Trump itu.

Namun, ada juga negara-negara yang akan berusaha mengambil peluang untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Contoh, Vietnam yang mempunyai persekitaran dan kos rendah untuk perniagaan boleh mendapat manfaat besar daripada perang perdagangan ini. Banyak syarikat antarabangsa telah dan merancang untuk melabur di negera tersebut.

PELUANG MALAYSIA
Bagi Malaysia yang mengeksport komponen seperti bahan elektronik, terutamanya dalam produk seperti telefon bimbit dan komputer ke AS dan China kemungkinan akan mengalami penurunan nilai eksport. Kita juga bergantung kepada rantaian bekalan global dalam pengeluaran produk tersebut dan produk-produk yang lain.

Selain itu, kita juga adalah pengeksport terbesar bagi produk getah Malaysia di AS. Sekiranya selepas 90 hari penangguhan tarif baharu berakhir dan AS tetap mahu melaksanakannya maka pasti ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Jangan lupa negara masih mempunyai projek dengan China seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelaburan syarikat China yang lain juga mungkin akan terkesan dengan dasar itu.

Ada peluang yang mesti kita rebut, terutama dalam menarik syarikat-syarikat besar China, AS serta Eropah yang kemungkinan besar akan mencari dan mengalihkan operasi masing-masing ke rantau Asia yang dianggap mempunyai persekitaran lebih baik dengan kos pengoperasian lebih rendah, termasuk kemudahan infrastruktur selain pasaran tenaga kerja lebih kompetitif.

Justeru, negara kita perlu ada strategi jelas untuk menawarkan laluan pasaran kepada syarikat-syarikat antabangsa tersebut. Dalam masa sama, strategi untuk meningkat pelaburan domestik juga mesti dipertingkatkan kerana sektor ini juga merupakan nadi kemakmuran dan penyelamat kepada ekonomi negara.

Strategi ekonomi yang dirangka mestilah dapat mengurang dan meringankan kesan daripada ketidaktentuan ekonomi global dan dasar ekonomi Trump yang menjerut itu.

Usaha memantau dan menyelaraskan maklum balas daripada pelbagai pemegang berkepentingan terhadap perdagangan AS dan China dengan Malaysia juga harus efektif, dipertingkatkan serta dikemaskini mengikut situasi mahupun perkembangan semasa.

Cara fikir pembuat dasar ekonomi kita perlu tertumpu untuk melihat bagaimana perang dagang ini dapat memberi peluang buat supaya Malaysia tidak terlalu mengalami kesan yang teruk dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Dialog ekonomi pelbagai hala untuk mengukuhkan dan membaiki sistem perdagangan kita sedia ada perlu diperhebatkan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya