Latif sudah boleh 'terbang' jauh  

Latif sudah boleh ‘terbang’ jauh  

ABDUL LATIF ROMLY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang pulih daripada kecederaan bertekad untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Dunia di Kobe tahun lalu apabila beraksi di pentas sama di India November ini.

Beliau yang juga pemenang emas Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 turut menetapkan sasaran untuk memperbaiki jarak lompatan melebihi 7.6 meter dalam usaha mengukuhkan dominasinya di peringkat dunia.

“Untuk Kejohanan Dunia di India nanti, saya mahu mempertahankan pingat emas serta memperbaiki jarak lompatan saya. Sasaran saya adalah untuk mencapai jarak 7.6 meter ke atas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui inisiatif yang diterima daripada Zero Healthcare selepas temasya Paralimpik Paris 2024 merupakan dorongan besar buat dirinya serta atlet para lain bagi meneruskan kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan yang lebih kukuh daripada sektor swasta dalam usaha membantu atlet para negara mendapat penajaan bagi persiapan menghadapi kejohanan utama, termasuk Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Mengenai perancangan jangka panjang, Abdul Latif berkata beliau kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap persediaan ke LA28 dengan menilai prestasi tahun ke tahun, selain menyasarkan untuk layak ke kejohanan itu melalui Kejohanan Dunia 2026 dan 2027.

“Untuk LA28, saya mahu memperbaharui rekod lompatan saya serta mendapatkan semula pingat emas. 

“Saya berharap dapat mencapai lompatan melebihi 7.7 meter. Namun, fokus utama saya adalah memastikan diri bebas daripada kecederaan,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan fizikalnya, atlet kelahiran Perlis itu mengesahkan beliau kini telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya sebelum ini dan dalam keadaan terbaik untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

Untuk rekod, Latif juga merupakan pemenang pingat perak dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×