Kesatuan rakyat kunci kekuatan negara

Kesatuan rakyat kunci kekuatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG dagang dan tarif yang sengit serta keadaan politik dunia yang tidak menentu pada hari ini sudah pasti sedikit sebanyak memberikan impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, bukan hanya negara ekonomi kecil seperti Malaysia yang merasa kesannya, tetapi kuasa-kuasa besar ekonomi dunia turut menerima bahangnya.

Dihambat kerisauan, rakyat tertanya-tanya kerana mahukan kepastian yang kerajaan berusaha serta mengambil langkah terbaik dan pragmatik bagi menangani masalah berbangkit. Namun, tidak kurang pula yang sekadar bertanya untuk membantah dan mengkritik apa sahaja tindakan yang diambil kerajaan.

Ironinya, dalam keadaan begini masih ada yang mahu mengambil kesempatan menabur fitnah dan mencipta persepsi. Sedarkah kita dalam kalangan mereka yang lantang membahas, ada juga sebenarnya tidak mempunyai ilmu asas dalam bidang ekonomi dan kewangan bagi mewajarkan mereka membuat penilaian berasas?

Namun begitu, mereka masih diangkat sebagai penganalisis hebat dan setiap hujahan diulang-ulang pengikut setia. Kita seolah-olah terperangkap dalam dunia imaginasi di mana khayalan dianggap sebagai kenyataan.

Masih ramai di antara kita merasakan apa yang disiarkan dan dibincangkan di media sosial ialah fakta benar dan sahih. Begitu hebat pengaruh media sosial sehinggakan banyak perkara yang dihidang melalui laman-laman ini amat mudah diterima secara bulat-bulat dan dipercayai dengan sepenuh hati, biarpun tidak disokong bukti sahih malah tidak munasabah juga.

Bagi sebahagian daripada kita pula, lebih keras nada ucapan atau nukilan yang dibuat, lebih bersemangat kita mendengar dan membacanya. Paling penting, ia selari dengan ‘selera’. Walhal, kita semua tahu harus menggunakan akal dan kebijaksanaan bagi menilai maklumat yang diterima dengan sebaik-baiknya dalam mencari kebenaran.

Hanya jauhari mengenal manikam, maka kita harus sentiasa berusaha bagi menambah ilmu supaya tidak mudah tertipu dengan maklumat tidak benar. Kita sepatutnya membuat kajian menyeluruh serta meminta pandangan daripada mereka yang mahir apabila berdepan isu yang kurang difahami.

Kita juga harus bersikap jujur dan menerima kebenaran, biar pun kadangkala amat pahit untuk ditelan.

Dalam segala hal, tidak kiralah sama ada dalam institusi keluarga, di pejabat, universiti ataupun di peringkat negara, sebaik mana pun cara penyelesaian yang diutarakan, ia tidak akan dapat memberikan hasil yang baik jika pihak terlibat tidak menerimanya, lantas tidak memainkan peranan masing-masing untuk menjayakannya. Apatah lagi jika ia disabotaj demi menzahirkan rasa marah dan tidak puas hati.

Oleh itu, dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin getir, kekuatan serta kestabilan negara amatlah penting. Bukan sahaja agar kita dapat bertahan tetapi lebih penting lagi untuk mempunyai daya saing yang hebat. Hanya kita yang dapat mempertahankan kedaulatan negara.

Rakyat di semua peringkat harus bersatu hati dan bersama-sama menjalankan tanggungjawab kepada negara dengan penuh amanah. Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Jangan sampai ada perasaan benci-membenci, apatah lagi perbuatan keji seperti memfitnah untuk menjatuhkan pihak lain.

SIKAP toleransi dan hormat-menghormati antara pelbagai kaum merupakan asas hubungan rakyat yang harmoni.

 

 

BERSATU
Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit. Akibat daripada krisis politik yang melanda, rakyat menderita, ekonomi menjadi lemah dan turut menjejaskan daya saing Malaysia berbanding negara jiran. Kita menyaksikan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam jangka masa lima tahun – kemelut yang amat asing kepada negara, sedangkan sebelum ini keadaan politik negara begitu stabil.

Dengan dasar dan corak kepimpinan yang asyik berubah-ubah, negara banyak menanggung kerugian bukan sahaja dari sudut material tetapi juga daripada ketidakcekapan pengurusan kerana barisan pemimpin yang kurang berpengalaman dan terlalu sibuk berpolitik. Ini mengakibatkan pelaksanaan dasar tidak dapat dilakukan dengan baik.

Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, menjaga keharmonian negara bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Pada masa sama, memupuk perpaduan yang erat di antara pelbagai kaum berlainan bukanlah hal yang mudah untuk dilakukan. Bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Kita semua harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Sikap toleransi dan hormat-menghormati ialah asas kepada hubungan rakyat yang harmoni. Hentikan provokasi sesama kita dan hormatilah undang-undang. Kita harus sedar keamanan yang dinikmati ini amat berharga dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Menjolok sarang tebuan hanya akan mengundang padah tetapi boleh membinasakan diri kita sendiri.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa. Kita orang bertamadun, tutur kata kesat dan maki hamun itu bukanlah budaya kita. Cara sebegitu tidak harus kita banggakan. Jagalah tingkah laku dan tutur kata dan jangan mudah menyakiti perasaan orang lain.

Jika kita asyik bertelingkah, negara akan hancur dengan sendirinya tanpa perlu diserang oleh pihak musuh. Cukuplah pengalaman pahit yang terpaksa kita lalui ketika berhadapan krisis politik getir di mana kerajaan runtuh dalam sekelip mata akibat persengketaan di antara pemimpin politik.

Negara akan mampu menangani cabaran jika para pemimpin dan rakyatnya bersatu hati, setia kepada negara, menunaikan tanggungjawab serta peranan masing-masing dengan jujur juga amanah.

Inilah masanya untuk setiap daripada kita sama-sama bekerja kuat membina negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×