KUALA LUMPUR: Persembahan luar biasa Khiew Hoe Yean dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 yang berakhir kelmarin menguatkan lagi keyakinan kem kebangsaan untuk memburu pingat emas di Sukan SEA 2025 pada Disember ini.
Jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson berkata, kejayaan perenang berusia 23 tahun itu meraih lapan pingat emas, termasuk memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) rampaian individu kelmarin, membuktikan prestasinya kini berada di tahap terbaik.
“Hoe Yean melakukan peningkatan dengan sangat baik berbanding musim lalu dan kini menjadi contoh serta pemimpin kepada perenang muda lain.
“Dia berjaya memenangi 200m gaya bebas, malah membuktikan kemampuannya mengimbangi pelajaran dengan sukan pada tahun ini. Kami sangat teruja dengan masa depannya,” kata Eric kepada pemberita selepas berakhir kejohanan terbabit, kelmarin.
Hoe Yean memperbaharui rekod 200m rampaian individu lelaki miliknya sendiri dengan catatan 2 minit 03.29 saat (s), mengatasi rekod lamanya 2:03.77s yang dilakukan pada 2023.
Selain 200m rampaian individu, dia turut mendominasi acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 200m kuak lentang serta dua acara berganti-ganti 4x100m dan 4x200m.
Sementara itu, Anderson turut menyatakan kegembiraannya melihat peningkatan daripada beberapa perenang lain seperti Terence Ng dan Muhammad Dhuha Zulfikry, yang dianggap mampu membentuk skuad mantap ke Sukan SEA Thailand.
“Melihat kepada keputusan 100m dan 200m gaya bebas, saya yakin kita mempunyai kelompok perenang yang kuat dan boleh mencipta kejayaan besar hujung tahun ini,” kata jurulatih kelahiran Denmark itu. – UTUSAN










