KUALA TERENGGANU: Persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) di setiap negeri perlu mempunyai hubungan rapat untuk menggerakkan program pembangunan sukan itu terutama dalam usaha melahirkan bakat muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Mohd. Sabri Abas berkata, walaupun FA dan FC mempunyai peranan masing-masing, setiap aktiviti perlu penglibatan bersama termasuk dalam pengurusan kewangan.
Katanya, beberapa FA dan FC di beberapa negeri berdepan masalah kewangan kerana tidak mempunyai hubungat erat.
“Kami di Terengganu tidak berhadapan masalah kewangan di peringkat FA dan FC kerana mempunyai kesepakatan dalam pengurusan bola sepak.
“Bagaimanapun terpulang kepada pengurusan FA dan FC di negeri-negeri lain mengatur rancangan untuk membangunkan sukan bola sepak di negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, persatuan bola sepak negeri dan kelab bola sepak dicadang bergabung di bawah satu bumbung sebagai jalan penyelesaian mengatasi masalah kewangan pasukan dan demi pembangunan bakat muda untuk tempoh jangka panjang.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengorak langkah membantu merealisasikannya.
Mohd. Sabri berkata, antara tugas FA adalah melahirkan bakat pemain dan pengurusan muda serta berkaliber.
Sementara, tambahnya, FC pula membawa pasukan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Namun, terdapat baik dan buruk sekiranya FA dan FC bergabung terutamanya di negeri-negeri kerana bergantung kepada kemampuan pengurusan kedua-dua pihak tersebut,” ujarnya – UTUSAN










