Golongan belia dirundung ‘AI Anxiety’

Golongan belia dirundung ‘AI Anxiety’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Untuk apa saya berhempas-pulas menuntut ilmu selama beberapa tahun jika perisian kecerdasan buatan (AI) mampu melakukan tugasan saya dalam tempoh lima saat?”

Persoalan seperti itu semakin menghantui generasi muda yang membesar dalam era teknologi AI. Di sebalik kemudahan yang ditawarkan, perkembangannya yang begitu pantas mula mencetuskan satu fenomena psikologi baharu dikenali sebagai ‘AI Anxiety’ atau kebimbangan AI.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Komputer Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Raihani Mohamed, fenomena ini merujuk kepada perasaan cemas, takut dan gelisah terhadap masa depan susulan perkembangan pesat teknologi AI, khususnya berkaitan peluang pekerjaan dan hala tuju kerjaya.

Katanya, bagi pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti, kebimbangan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Mereka bukan sahaja perlu memikirkan peperiksaan dan pengajian, tetapi pada masa sama tertanya-tanya sama ada bidang yang dipilih hari ini masih relevan apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak.

“Generasi muda hari ini yang membesar sebagai digital natives lebih terdedah kepada perkembangan teknologi berbanding generasi terdahulu. Jika sebelum ini teknologi dianggap sekadar alat untuk membantu manusia menyelesaikan tugasan, AI kini dilihat mampu mengambil alih sebahagian pekerjaan yang sebelum ini dilakukan manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

AI RAMPAS PELUANG KERJAYA?

Menurut Dr. Raihani, antara perkara yang paling mencetuskan kebimbangan ialah perkembangan AI dalam pekerjaan peringkat permulaan atau entry-level. Bidang seperti penulisan kandungan, reka bentuk grafik asas, pengaturcaraan komputer dan analisis data kini semakin mempunyai keupayaan untuk dibantu atau dilakukan dengan lebih pantas menggunakan AI.

Katanya, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan besar dalam fikiran pelajar. Jika sebahagian tugas yang selama ini menjadi ruang untuk graduan baharu membina pengalaman boleh dilakukan oleh AI, di manakah lagi peluang untuk mereka bermula?

“Kebimbangan tersebut menjadi semakin berat apabila graduan baharu turut berdepan dengan perubahan jangkaan majikan. Dalam usaha mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan, sesetengah majikan kini mengharapkan calon bagi jawatan peringkat permulaan mempunyai kemahiran yang sebelum ini lazimnya dimiliki pekerja berpengalaman.

“Lebih mencabar, calon baharu juga semakin diharapkan mampu menggunakan pelbagai alatan AI bagi melaksanakan tugasan kompleks sejak hari pertama bekerja.

“Situasi ini akhirnya mewujudkan satu dilema. Jawatan peringkat permulaan yang banyak melibatkan tugas rutin berpotensi dikurangkan atau diubah akibat automasi, manakala jawatan yang masih tersedia pula menuntut pengalaman dan kemahiran teknologi yang tinggi,” katanya.

Dalam keadaan itu, generasi muda boleh berasa seolah-olah mereka perlu mempunyai pengalaman sebelum diberikan peluang untuk mendapatkan pengalaman.

KELIRU MAHU SAMBUNG PENGAJIAN

Kebimbangan tersebut juga boleh mempengaruhi keputusan mereka dalam memilih bidang pengajian. Ada pelajar mula tertanya-tanya sama ada jurusan yang dipilih akan kekal relevan selepas mereka menghabiskan beberapa tahun di universiti.

Jelas Dr. Raihani, mereka mungkin bimbang menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk mempelajari sesuatu bidang yang akhirnya dianggap lapuk apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Keadaan ini boleh membawa kepada kecelaruan identiti dan decision paralysis, iaitu keadaan apabila seseorang terlalu banyak berfikir mengenai pilihan sehingga sukar membuat keputusan.

Dalam konteks pendidikan, situasi tersebut perlu diberi perhatian kerana pilihan jurusan bukan sekadar menentukan subjek yang akan dipelajari. Ia sering dianggap sebagai langkah pertama dalam membina masa depan dan identiti profesional seseorang.

Pada masa sama, media sosial turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi generasi muda terhadap AI. Pelbagai kandungan yang memaparkan keupayaan AI secara sensasi boleh membuatkan teknologi tersebut kelihatan jauh lebih berkuasa daripada kemampuan sebenar manusia.

Apabila seseorang setiap hari melihat video AI menghasilkan gambar, menulis kod, mencipta kandungan atau menyelesaikan tugasan dalam beberapa saat, tidak mustahil mereka mula merasakan diri sendiri semakin tidak diperlukan.

AI RAKAN KERJASAMA

Dr. Raihani berkata, AI tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing manusia. Sebaliknya, generasi muda perlu dididik untuk melihat AI sebagai rakan kolaborasi yang boleh membantu meningkatkan keupayaan manusia.

Katanya, peranan ini perlu dimulakan oleh institusi pendidikan. Sekolah dan universiti tidak boleh hanya mengajar pelajar cara menggunakan teknologi AI, tetapi turut perlu membimbing mereka memahami kesan teknologi terhadap emosi, keyakinan diri dan kesejahteraan mental.

“Pelajar perlu memahami AI mempunyai batasannya sendiri. Walaupun teknologi mampu memproses data dalam jumlah besar dan menghasilkan jawapan dengan pantas, ia tidak memiliki pengalaman hidup seperti manusia.

“AI dibangunkan berdasarkan statistik dan data lampau. Ia tidak mempunyai emosi, empati, penaakulan moral dan keupayaan membina hubungan kemanusiaan seperti manusia.

“Elemen seperti kreativiti, komunikasi, kepimpinan, empati, kerja berpasukan dan keupayaan memahami perasaan orang lain akan terus menjadi kemahiran penting dalam dunia pekerjaan,” katanya.

SISTEM PENDIDIKAN PERLU PERUBAHAN

Sehubungan itu, pendidikan juga perlu berubah seiring perkembangan teknologi. Sistem pembelajaran tidak boleh terlalu bergantung kepada hafalan fakta atau tugasan rutin yang mudah dihasilkan menggunakan AI.

Sebaliknya, pelajar perlu diberikan lebih banyak ruang untuk mengembangkan pemikiran kritis dan kreatif. Mereka perlu dilatih untuk menganalisis maklumat, menilai kesahihan sesuatu jawapan, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.

Pada masa sama, penggunaan AI dalam pendidikan juga perlu dilakukan secara bijak. Pelajar tidak seharusnya diajar untuk menjauhi AI kerana takut teknologi itu mengancam masa depan mereka.

Dr. Raihani berkata, mereka perlu diajar bagaimana menggunakan AI secara bertanggungjawab sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti, mencari idea, menganalisis maklumat dan menyokong proses pembelajaran.

Katanya, dalam konteks pasaran kerja, penguasaan AI juga perlu dilihat sebagai satu kemahiran tambahan, bukannya pengganti kepada kemahiran asas manusia.

Generasi muda yang mampu menggabungkan pengetahuan dalam bidang masing-masing dengan keupayaan menggunakan AI berpotensi mempunyai kelebihan dalam dunia pekerjaan yang semakin berubah.

Dalam masa sama, majikan juga mempunyai peranan untuk memastikan perubahan teknologi tidak mewujudkan jurang yang terlalu besar antara graduan baharu dan keperluan industri.

Peluang untuk membina pengalaman masih penting kerana tidak semua kemahiran boleh diperoleh melalui penggunaan AI. Graduan memerlukan ruang untuk belajar, melakukan kesilapan, menerima bimbingan dan berkembang secara profesional.

Sesetengah pekerjaan mungkin berkurangan, tetapi pada masa sama bidang baharu akan muncul hasil perkembangan teknologi. Oleh itu, keupayaan untuk menyesuaikan diri menjadi antara aset paling penting dalam menghadapi masa depan.

BUKAN GENERASI LEMAH

AI Anxiety bukanlah tanda generasi muda lemah atau tidak bersedia menghadapi dunia moden. Sebaliknya, ia merupakan tindak balas semula jadi terhadap perubahan teknologi yang berlaku pada kadar sangat pantas.

Apa yang diperlukan ialah bimbingan yang betul supaya rasa takut tersebut tidak bertukar menjadi keputusasaan.

Pendidikan perlu membantu anak muda memahami masa depan bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya sesuatu yang boleh dibentuk dengan ilmu, kemahiran dan kesediaan untuk belajar.

Bagi seorang pelajar universiti, Nurita Mohd Fadhli, 22 tahun berkata, kebimbangan paling besar baginya ialah masa depan kerjaya selepas tamat pengajian.

Katanya, dia dan pelajar lain menghabiskan beberapa tahun menimba ilmu, tetapi pada masa sama melihat AI semakin mampu melakukan tugasan yang sebelum ini memerlukan tenaga manusia.

“Saya risau juga bila tengok AI boleh buat kerja seperti menulis, menganalisis data dan menghasilkan reka bentuk dalam masa yang singkat. Kadang-kadang terfikir, berbaloi ke saya belajar bertahun-tahun kalau nanti kerja yang saya cari boleh dibuat AI?,” katanya.

Selain itu, golongan pelajar juga mempersoalkan mengenai kesukaran mendapatkan peluang pertama. Mereka melihat majikan semakin mahukan calon yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut mahir menggunakan AI dan mampu melakukan tugasan kompleks.

“Yang buat saya takut ialah nak dapatkan kerja pertama pun sudah susah. Kalau kerja peringkat permulaan banyak yang boleh digantikan AI, macam mana kami nak bina pengalaman?,” soal pelajar kolej swasta, Adrian Syah, 23 tahun.

Bagi seorang lagi pelajar universiti, Elly Syamimi, dia melihat AI tidak semestinya dianggap sebagai ancaman.

“AI adalah teknologi yang perlu dikuasai supaya tidak ketinggalan dalam pasaran kerja.

“Saya memang ada rasa risau, tetapi saya tak rasa kita boleh lari daripada AI. Kalau kita takut dan tak mahu belajar, kita mungkin lebih mudah ketinggalan. Bagi saya, kita kena belajar guna AI sebagai alat untuk bantu kerja, bukan anggap ia sebagai musuh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×