DUNIA hari ini semakin canggih tetapi adakah jiwa anak-anak kita semakin terpelihara?
Pertanyaan ini muncul dalam fikiran sewaktu saya mengendalikan Program Temasya Bahasa anjuran Persatuan Kebajikan Idayakkani dan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) melibatkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Kerian, Perak, baru-baru ini.
Kita semua sedar betapa kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah pandai meleret skrin, membuka aplikasi dan bermain permainan digital tanpa perlu diajar.
Apa yang dahulu menjadi bahan bacaan dan hiburan dalam bentuk buku fizikal (bercetak) kini digantikan oleh tablet, telefon bimbit dan skrin yang tidak pernah tidur.
Gajet yang kononnya alat bantu pembelajaran akhirnya bertukar menjadi senjata halus yang perlahan-lahan mencuri zaman kanak-kanak daripada tangan anak-anak kita. Saya percaya bukan saya seorang sahaja berpendapat demikian.
Masyarakat semakin bimbang, namun dalam diam, ramai juga ibu bapa yang memilih jalan mudah.
“Biarlah anak diam dengan gajet daripada menangis dan buat bising.”
Mungkin begitu alasan yang sering kita dengar, khususnya daripada ibu bapa generasi muda yang juga terdedah kepada gajet dan telefon pintar.
Akan tetapi, benarkah langkah memberi gajet kepada anak-anak kecil menjadi penyelesaian kepada masalah? Atau tindakan itu sebenarnya permulaan kepada masalah yang bakal menghantui mereka sepanjang hayat?
Sambil melatih peserta program Temasya Bahasa menyanyi lagu Rasa Sayang dan kemudian membaca petikan daripada buku Nari! Nari!, minda saya ligat memikirkan pula kesan buruk penggunaan gajet dan telefon bimbit terhadap perkembangan minda kanak-kanak.
Kita tidak perlu meneliti hasil kajian saintifik di jurnal akademik untuk memahami hakikat kanak-kanak yang terdedah kepada skrin terlalu awal biasanya mengalami kelewatan dalam pertuturan.
Interaksi dua hala yang sepatutnya berlaku antara ibu bapa dan anak semakin berkurang apabila gajet mengambil alih peranan sebagai penjaga. Anak tidak belajar menyebut, meniru atau bertanya. Skrin hanya memberi tetapi tidak membalas.
Penggunaan skrin yang berterusan melatih otak kanak-kanak untuk mencari rangsangan segera. Animasi bergerak pantas, bunyi menarik dan ganjaran segera daripada permainan menjadikan mereka sukar untuk memberi tumpuan dalam suasana sebenar, khususnya apabila melangkah ke tadika atau di bilik darjah.
Kita tentu selalu melihat realiti kanak-kanak mudah bosan dan tidak dapat duduk diam tanpa hiburan digital. Ibu bapa pula cepat mengalah dan segera menghulurkan telefon pintar atau tablet kepada anak yang buat perangai.
Hasil pembacaan berkaitan topik ini, saya mendapat tahu bahawa cahaya biru dari skrin gajet mengganggu penghasilan hormon melatonin yang penting untuk tidur.
Kanak-kanak yang biasa menggunakan telefon bimbit sebelum tidur sering mengalami kesukaran untuk lena. Kurang tidur pula membawa kesan domino iaitu mereka bangun lewat, mengantuk di sekolah dan hilang tumpuan dalam pelajaran.
Perlu kita akui permainan bersifat ganas atau kandungan tidak sesuai mampu membentuk tingkah laku kasar, degil dan tidak terkawal. Kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada gajet juga menjadi lebih mudah marah apabila tidak dibenarkan bermain.
Mereka tidak tahu cara mengurus emosi kerana tidak diajar berinteraksi dalam dunia nyata. Kita sendiri menyaksikan situasi seperti ini di mana-mana.
Skrin memberi gambaran visual siap sedia. Tidak ada ruang untuk membina sendiri gambaran dalam fikiran. Kanak-kanak tidak lagi perlu membayangkan dunia khayalan mereka kerana segala-galanya sudah tersedia dalam bentuk digital.
Imaginasi mereka semakin tumpul dan kreativiti terkubur tanpa sempat mekar. Sebagai seorang penulis dan pengendali program galakan membaca bagi kanak-kanak, saya risau memikirkan perkembangan seperti ini.
Pada masa sama, kita boleh membandingkan pula kesan positif dan kebaikan menggalakkan kanak-kanak membaca buku cerita fizikal atau bercetak.
PUPUK MINAT MEMBACA
Aktiviti membaca buku cerita, sama ada secara sendiri atau bersama ibu bapa, membantu kanak-kanak mempelajari struktur ayat, kosa kata baharu dan sebutan yang betul.
Buku bukan sahaja menjadi jambatan ilmu malah turut menjadi jambatan kepada dunia pertuturan. Soalan-soalan mudah seperti “Kenapa Sang Kancil berasa takut?” mampu membuka ruang untuk perbualan dan pemikiran kritikal.
Membaca memerlukan kesabaran dan fokus. Tidak seperti gajet, buku tidak memberi ganjaran segera atau bunyi menarik. Maka, kanak-kanak yang membaca buku akan belajar untuk duduk diam, mengikut jalan cerita dan memahami sesuatu secara perlahan-lahan.
Hal ini mungkin kedengaran mudah tetapi sebenarnya melatih disiplin dan daya tahan mental kanak-kanak.
Membaca bersama ibu bapa bukan sahaja membina hubungan malah turut membuka ruang untuk memahami emosi. Apabila watak dalam cerita menangis atau gembira, kanak-kanak belajar berempati. Mereka mula memahami emosi dan belajar menyuarakan perasaan serta isi hati.
Tidak seperti skrin, buku memerlukan pembaca membayangkan sendiri watak, suasana dan emosi. Hal ini menggalakkan otak kanan berfungsi aktif. Kanak-kanak yang membaca sering menunjukkan daya imaginasi yang tinggi dan lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah.
Buku cerita sering membawa mesej tersurat dan tersirat. Cerita tentang kejujuran, keberanian, kasih sayang dan kebaikan membentuk asas moral dalam diri kanak-kanak.
Tanpa perlu ceramah panjang lebar atau kem motivasi yang membosankan, buku mampu menjadi guru terbaik kepada jiwa muda yang sedang membesar.
Tidak dinafikan gajet mempunyai tempatnya dalam dunia pendidikan moden. Tetapi penggunaannya mestilah terkawal, berpandu dan sesuai dengan usia.
Sebaliknya, buku cerita fizikal wajar diangkat kembali sebagai medium pembinaan minda dan jiwa. Ia bukan barang usang yang patut ditinggalkan tetapi khazanah yang perlu diwariskan.
Sebagai ibu bapa, pendidik dan anggota masyarakat yang prihatin, kita ada tanggungjawab memastikan kanak-kanak tidak menjadi mangsa teknologi.
Kita pasti bersetuju bahawa gajet boleh membantu tetapi buku membentuk personaliti. Dunia digital boleh memberi maklumat tetapi buku mampu menyemai nilai.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).