PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui pertemuan berdepan Vietnam menjadi peluang terbaik untuk beliau membuktikan kemampuan sebenar.
Beliau berkata, lawannya kali ini lebih sukar berbanding ketika tugasan pertama menentang Nepal namun segala perancangan rapi telah dilakukan untuk menghadapi aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, Jun ini.
Dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) sedang berehat, bermakna Cklamovski perlu mengatur strategi berbeza serta memerlukan aksi persahabatan bagi memastikan anak buahnya berada dalam prestasi terbaik untuk menentang skuad ‘Naga Emas’ itu.
Pengendali dari Australia itu turut optimis anak buahnya memiliki keupayaan untuk menjinakkan lawan yang memenangi lima aksi berturut-turut ke atas skuad negara sebelum ini.
“Ini peluang untuk saya membuktikan sesuatu kerana kita sudah lama tidak menang dengan Vietnam. Tentu sekali kita akan mengadakan persiapan yang rapi untuk menentang Vietnam.
“Persiapan kali ini akan sedikit mencabar memandangkan ia berlangsung ketika saingan liga sudah berakhir, jadi pemain menyegarkan diri selepas mengharungi musim yang panjang.
“Ini satu aksi yang sukar tetapi ia bukanlah mustahil kerana kita akan memberikan segalanya. Kita perlukan satu atau dua perlawanan persahabatan supaya pemain mendapat rentak sebelum menentang Vietnam.
“Kita akan umumkan nanti (aksi persahabatan),”kata Cklamovksi ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Malaysia dan Vietnam masing-masing mengumpul tiga mata namun Vietnam mendahului Kumpulan F menerusi perbezaan jaringan.
Tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi menjadi rebutan kerana hanya juara setiap kumpulan pada pusingan kelayakan ini akan layak. – UTUSAN










