PETALING JAYA: Bekas pemain Perak FC, J. Partiban, meluahkan rasa sedih dan terkejut apabila mengetahui pasukan itu mengesahkan menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Partiban yang menjadi sebahagian pemain membawa Perak ke final Piala FA 2019, mengakui keputusan itu meninggalkan kesan kepada beliau.
“Saya rasa sedih sejujurnya. Memang terkejut bila dengar berita itu. Kalau boleh, saya tak nak Perak FC bubar. Perak bukan pasukan biasa, dan penyokong kita pun besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Partiban turut menyuarakan harapan agar ada pihak yang dapat membeli kelab tersebut, sekali gus memberi peluang kepada pemain muda dari Perak untuk terus beraksi di pentas tertinggi bola sepak Malaysia.
Menurutnya, walaupun masalah kewangan menjadi isu utama, ia tidak seharusnya menghalang usaha mengembalikan semula pasukan Perak.
“Kalau ada bajet yang betul, kita tak perlu beli ramai pemain import. Cukup dengan 2-3 pemain import berkualiti, dan selebihnya beri peluang kepada pemain muda yang banyak bakat di Perak. Saya datang dari Piala Presiden , dan saya lihat sendiri potensi pemain muda kita,” katanya.
Turut senada dengannya, bekas pemain Perak FC, Nazirul Naim Che Hashim yang berkata, kehilangan pasukan yang sudah bertapak lebih 100 tahun dalam arena bola sepak tanah air itu adalah satu kehilangan besar buat rakyat negeri Perak.
“Saya rasa sedih dengan perkabaran ini kerana kita tahu Perak FC adalah sebuah pasukan yang sudah lama bertapak dalam industri bola sepak negara.
Menurutnya, Perak FC bukan sekadar sebuah pasukan bola sepak, tetapi merupakan simbol perpaduan rakyat negeri ini, yang telah memberi peluang kepada ramai pemain muda untuk mencipta nama dalam dunia bola sepak.
“Kita bukan sahaja kehilangan sebuah pasukan bola sepak, kita kehilangan sesuatu yang mampu menyatukan rakyat Perak kerana bola sepak merupakan sukan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, pemain kelahiran Perak itu pernah menjadi watak penting pasukan Perak FC apabila membantu The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia 2018, serta membawa nama perak pada kelayakan AFC 2019. – UTUSAN










