“JANGAN bertanya apakah yang dapat negara lakukan untuk anda, tanyalah apa yang dapat anda lakukan untuk negara.” Itulah kata-kata Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-35, John F. Kennedy, ketika istiadat mengangkat sumpah di Capitol, Washinton D.C, pada 20 Januari 1961.
Kata-kata ini yang diucapkan Kennedy lebih tujuh dekad lalu masih diingati sehingga kini. Malah, ia sering disebut-sebut, termasuk oleh warga generasi Z di seluruh dunia. Namun, adakah kata-kata ini masih relevan dengan konsep hidup dan pemikiran kita pada alaf ini?
Perkara ini sangat menarik untuk dibincangkan tatkala perjuangan kita terarah kepada menuntut hak rakyat ke atas negara. Atas dasar hak, kita mahu semua permintaan dipenuhi. Laungan kuasa rakyat membakar semangat kita untuk mencabar apa sahaja perkara dan peraturan yang bertentangan dengan kehendak.
Kita mahukan kesenangan hidup dan bebas melakukan apa sahaja yang dimahukan. Siapa yang mahu kehidupan mereka dibelenggu oleh undang-undang? Ada yang mahukan kebebasan secara mutlak serta menolak semua undang-undang yang ada, termasuklah agama sendiri.
Kita sering mendengar rungutan tentang apa yang sepatutnya rakyat nikmati, gagal disediakan. Kerajaan acapkali dipersalahkan apabila keinginan kita tidak mencapai tahap yang diingini.
Persoalannya, tatkala sibuk memikirkan tentang hak dan keinginan sendiri, tidakkah terfikir tentang hak serta tanggungjawab kepada pihak lain yang perlu laksanakan, terutamanya kepada negara?
Secara khususnya sebagai rakyat, tercetuskah dalam fikiran bahawa bukan hanya kita sahaja yang mempunyai hak yang perlu dipenuhi tetapi negara atau pihak kerajaan juga turut mempunyai hak tersebut?
Dengan kata lain, seperti mana tanggungjawab yang digalas oleh pihak pentadbir untuk berkhidmat kepada rakyat, bukankah kita sebagai rakyat turut menggalas tanggungjawab untuk berkhidmat kepada negara?
Sebenarnya, hal ini bukanlah sesuatu yang baharu kepada umat Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam ayat ke-59 Surah An-Nisa yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu.”
Para ahli falsafah kenegaraan Islam juga menggariskan ciri-ciri negara yang mengikuti sistem pemerintahan Islam, salah satunya termasuklah perihal tanggungjawab negara dan rakyat.
Di dalam karangan Abu Al-Hassan Al-Mawardi yang bertajuk Al-Ahkam As-Sultaniyyah, beliau menyebut dengan jelas dan terperinci tentang tanggungjawab yang digalas oleh rakyat terhadap negara masing-masing.
Hal ini berdasarkan sebuah petikan hadis di mana Rasulullah SAW bersabda: “Dan barang siapa yang berada di jalan yang benar akan memerintah dengan kebenarannya dan barang siapa yang sudah rosak akhlak dan prinsipnya akan memerintah dengan kerosakan itu.”
Baginda turut menyeru umat Islam supaya mematuhi serta mentaati para pemimpin dalam segala perkara yang benar bagi setiap urusan dan jika mereka berbuat demikian, maka ia akan membawa kebaikan kepada semua.
Seperti mana rakyat mempunyai sesetengah hak tertentu, kerajaan ada hak untuk mempunyai rakyat yang taat. Untuk membentuk sebuah negara yang sejahtera, setiap tanggungjawab yang dipikul harus dilaksanakan dengan penuh amanah, bukan hanya oleh pemimpin tetapi juga oleh setiap rakyat.
Sebaik mana jua dasar yang dirangka oleh pemerintah, ia tidak akan berjaya sepenuhnya jika rakyat menentangnya, lebih-lebih lagi jika ada yang sanggup bertindak untuk menggagalkan usaha tersebut.
Jangan lupa pemimpin itu cerminan rakyatnya. Maka, jika kita tidak senang dengan sikap pemimpin, ambillah masa untuk mencermin diri terdahulu. Carilah jalan yang berhemah untuk memperbaiki keadaan. Langkah ke arah kebaikan harus dimulakan oleh diri sendiri sebelum menuntut orang lain berbuat sedemikian.
Kita mempunyai tanggungjawab untuk menjadi rakyat yang taat serta setia kepada negara dan pemimpin. Hal ini mestilah melangkaui segala sentimen kepartian melampau sehingga mengaburkan pandangan. Berpolitik biarlah kena pada tempat dan masanya.
Ada pula di antara kita yang merasakan berhak melakukan apa-apa sahaja demi menuntut hak. Kuasa rakyat diangkat mengatasi segala-galanya. Rakyat dianggap bos kerana rakyatlah yang mengundi pemimpin.
Kata mereka kononnya “kalau tidak dapat apa yang kita mahu, jatuhkan sahaja mereka.” Namun, tindakan itu menyebabkan berlakunya krisis politik akibat ketidakstabilan pemerintahan negara bermula tahun 2018 sehingga 2022 yang menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat serta nasib negara.
Bagi mereka yang percaya tentang prinsip demokrasi mutlak, pertukaran kerajaan yang silih berganti dikira positif kerana kerajaan sepatutnya ditukar dalam sekelip mata jika para pemimpin gagal menunaikan tuntutan rakyat. Maka, terserlahlah kuasa rakyat.
Walhal, realitinya, kita perlukan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang stabil selain berkebolehan untuk memacu pertumbuhan negara. Pada waktu sama, rakyat yang setia dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan akan melahirkan keadaan yang kondusif bagi mencapai kejayaan dengan lebih efektif.

ORANG MUDA
Malangnya, orang muda yang baru mengenal dunia amat mudah tertarik dengan ideologi yang memisahkan masyarakat kepada kelas-kelas berbeza. Lantas, mereka melihat dunia daripada sudut perspektif yang berdasarkan kelas masyarakat.
Golongan ini menganggap rakyat yang berada dalam golongan bawahan sering dipergunakan oleh pemimpin demi kepentingan mereka. Oleh itu, kononnya atas dasar menuntut hak rakyat yang tertindas, mereka menggesa orang ramai untuk turun memberontak melawan para pemerintah bagi mencapai keadilan.
Sudah tiba masanya kita berpijak di bumi yang nyata dan berfikir dengan lebih bijaksana. Tanyalah diri apa yang dapat kita berikan kepada negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










