ISKANDAR PUTERI: Serangan bertali arus Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencari jaringan memberi ruang kepada pasukan pelawat, Buriram United melakukan serangan balas pantas.
Pengendali Buriram United, Oscar Loss mengakui perkara itu memberi pihaknya banyak peluang menjaringkan gol dalam perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Elite Asia (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini kelmarin.
Anak buahnya juga bermain lebih tenang dan tersusun dalam menahan asakan demi asakan sebelum berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58.
“Sejujurnya, ini bukanlah prestasi terbaik kami dalam ACLE, kami tidak banyak kawal bola, tetapi kami berpeluang membuat serangan balas pantas.
“Apabila JDT menyerang, mereka buka banyak ruang membolehkan kami mengatur gerakan. Kami sebenarnya berpeluang mendapatkan dua atau tiga gol daripada serangan balas pantas.
“Dalam permainan seperti ini, adalah penting setiap pemain kekal tenang dan berkemampuan membaca permainan,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, penyerang Buriram, Suphanat Mueanta yang berusia 23 tahun menjaringkan gol tunggal perlawanan, sekali gus meranapkan impian JDT menjadi kelab bola sepak pertama Malaysia layak ke peringkat suku akhir ACLE.
Osmar Loss dan skuadnya akan terus berusaha sebaik mungkin bagi meneruskan perjalanan Buriram dalam peringkat suku akhir ACLE, khususnya apabila bertemu kelab dari Asia Barat.
“Saya gembira dan berbangga dengan kemenangan ini. Pemain bermain demi maruah mereka, maruah kelab dan negara. Kami akan terus pasang impian untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Suphanat Mueanta pula berterima kasih dengan kepercayaan diberi jurulatih serta rakan sepasukan. – UTUSAN










